Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ten Hag berdepan masalah kecederaan

    LONDON, 9 OGOS – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, berdepan kerunsingan di bahagian pertahanan apabila kecederaan terus membelenggu persiapan pasukannya menjelang perlawanan Komuniti Shield esok dengan pencabar, Manchester City.

    United dijangka bersaing tanpa pemain pertahanan Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka untuk pembuka tirai musim baharu, yang menyaksikan pertembungan antara juara Liga Perdana Inggeris dengan pemenang Piala FA.

    Selain itu, pemain pertahanan, Lisandro Martinez hanya akan menyertai semula skuad minggu ini selepas mengambil bahagian dalam kejayaan Argentina mempertahankan kejuaraan Copa America musim panas ini.

    “Kami akan menilai setiap pemain dan membuat keputusan sama ada mereka akan bermain pada pembukaan perlawanan, atau mungkin berada di bangku simpanan, atau sama sekali tidak bermain,” kata Ten Hag kelmarin.

    “Harry Maguire terlepas perlawanan (persahabatan) (menentang Liverpool) sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi untuknya bermain pada perlawanan esok masih menjadi tanda tanya. Begitu juga Lindelof, Wan-Bissaka dan Shaw.

    “Jadi kami ada latihan, kami perlu lihat sama ada mereka cukup cergas atau tidak untuk bermain.

    “Kami akan memikirkan tentang Licha (Martinez) untuk terlibat dalam permainan,” tambahnya lagi.

    Facundo Pellistri dan pemain England, Kobbie Mainoo, yang memulakan perlawanan akhir Euro 2024 14 Julai lalu, juga kembali berlatih minggu ini selepas rehat panjang dan sedang dinilai. – AFP

    Ten Hag semasa menyaksikan pasukannya bersaing menentang Liverpool semasa perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Williams-Brice pada 3 Ogos di Columbia, Carolina Selatan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda