Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Seramai 29 tenaga pengajar baharu yang mengikuti Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik petang hari ini menerima sijil penyertaan program yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis penyampaian itu menandakan tamatnya program berkenaan yang berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 21 Januari.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pengurusan Pendidik, Dayang Masdiah binti Haji Awang Tuah yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta program induksi terdiri daripada pegawai pelajaran bergaji hari melalui Program Perantis, pegawai pelajaran bergaji hari di bawah Skim Biasiswa Ikat Janji sebagai Pendidik dan juga tenaga pengajar baharu dalam bidang pendidikan khas.
Beliau berkata, para peserta yang telah berjaya menamatkan program induksi menunjukkan dedikasi dan komitmen yang baik, semangat yang padu serta penyertaan yang aktif dalam mengikuti semua taklimat, bengkel dan aktiviti yang telah dijalankan.
Beliau percaya, dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, para peserta akan lebih bersedia dan bersemangat kembali ke sekolah dan seterusnya memanfaatkan apa yang telah dipelajari melalui program tersebut, bukan sahaja di peringkat sekolah, malahan juga di sepanjang kerjaya sebagai seorang pendidik.
Beliau juga menasihatkan tenaga pengajar baharu untuk sentiasa meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan sentiasa peka dengan kaedah dan strategi terkini.
Dalam hal itu, penguasaan kemahiran pendidikan abad ke-21 amat perlu untuk mengoptimumkan keberkesanan dan keberhasilan pengajaran.
Kementerian Pendidikan khususnya Jabatan Pengurusan Pendidik akan sentiasa mempertingkat, memperluas dan memastikan program induksi tersebut adalah intensif dan komprehensif dalam menyokong perkembangan tenaga pengajar baharu sejajar dengan keperluan landskap pendidikan yang sentiasa berkembang, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara.
Majlis diteruskan dengan sesi membaca Ikrar Guru oleh seramai 29 peserta program, diikuti dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Antara tujuan program induksi itu diadakan adalah untuk memberi bimbingan kepada tenaga pengajar yang baharu berkhidmat agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja serta melaksanakan tugas dengan baik dengan persediaan yang diberikan, khususnya dalam beberapa tahun pertama berkhidmat sebagai guru.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.