Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenang apabila berdepan ujian

    PERNAH melalui situasi genting apabila reputasi diri dipertikai gara-gara kontroversi klip video, Syafiq Kyle berharap siapa saja yang berdepan isu sama berfikir dengan waras.

    Tidak mempunyai nasihat khusus buat Aiman Tino yang ketika ini ‘hangat’ dengan penularan video kurang sopan, Syafiq menegaskan, sokongan keluarga cukup penting ketika berdepan situasi itu.

    “Saya tiada nasihat spesifik untuk diberi kepada Aiman atau sesiapa sahaja yang melaluinya. Cuma, saya harap, mereka terus berfikir dengan baik dan waras… Cukup ada sistem sokongan keluarga yang kuat,” katanya kepada media.

    Sejak beberapa hari, Aiman dilanda kontroversi apabila rakaman video kurang sopan yang memaparkan lelaki mirip dirinya, tersebar. Enggan membiarkan spekulasi bertebaran, Aiman, semalam, menafikan lelaki dalam video panas itu adalah dirinya.

    Tahun lalu, ketika drama lakonannya, Nur mencetuskan fenomena, Syafiq yang melakonkan watak Ustaz Adam, diuji dengan kontroversi rakaman video yang tular. Syafiq menasihatkan mereka yang ditimpa kontroversi seumpama itu hendaklah terus berbuat baik dengan semua orang.

    Tahun lalu, ketika drama lakonannya, Nur mencetuskan fenomena, Syafiq yang melakonkan watak Ustaz Adam diuji dengan kontroversi rakaman video yang tular. – Agensi

    “Pada akhirnya, lihat diri sendiri dan jangan pantas menghukum orang lain. Sekarang sudah 2019… Banyak lagi perkara yang perlu kita beri perhatian berbanding isu begini,” katanya.

    Setahun berlalu, Syafiq kini lebih tenang berdepan ujian sebagai anak seni. “Sebagai manusia biasa, saya bersedia diuji, tak kira di luar atau dalam industri seni. Apa yang saya lalui lebih membuatkan saya berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Saya jadi lebih bijak berfikir dan berdepan dengan apa yang mendatang,” katanya yang memperkenalkan koleksi Aidilfitri, Jiwa pada majlis pertunjukan fesyen Zaloraya 2019 baru-baru ini.

    Bercerita perkembangan terbaharu, Syafiq berkata, dia sedang melunaskan penggambaran telefilem raya Senafas Rindu berganding dengan Elizabeth Tan. “Saya baru selesai penggambaran drama Nur 2. InsyaAllah, selepas ini, saya akan terbabit dengan dua filem iaitu genre aksi dan thriller,” katanya.

    Mengenai koleksi Jiwa, Syafiq turut menawarkan pilihan buat wanita.

    “Tahun lalu, apabila saya melancarkan koleksi pakaian lelaki, ramai yang merungut, tiada koleksi perempuan. Jadi saya mahu memuaskan hati mereka dengan menampilkan koleksi wanita,” katanya yang kali pertama bekerjasama dengan portal beli-belah, Zalora. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda