Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Tenangkan minda dengan memancing

    Oleh Raz AS

    Kehidupan seharian kita menjadi semakin sibuk. Sibuk dengan pekerjaan. Sibuk dengan persekolahan. Sibuk dengan orang-orang sekeliling. Semakin kita ditelan dengan kesibukan semakin kurang efektif tugasan seharian kita.

    Otak menjadi semakin tertekan, letih, fokus menjadi semakin berkurangan. Kadang-kadang perasaan pun semakin berkecamuk. Salah sedikit marah-marah. Silap sedikit menitis air mata. Hendak meluahkan apa yang berbuku di hati kepada orang lain takut digelar manja. Maklumlah bagi kebanyakan manusia, selagi belum terkena batang hidung sendiri orang yang mengalami tekanan sewenangnya sahaja dihukumkan sebagai ‘lemah’.

    Mengalami tekanan atau stres atau kemurungan (depression) bukan perkara main-main. Ia sepatutnya diambil serius oleh setiap individu tidak kiralah oleh orang yang menghidapnya atau orang ramai dan orang-orang di sekeliling si penghidapnya. Jika ia perkara ringan, masakan pula kerajaan kita menyediakan perkhidmatan Talian Harapan 145 sebagai usaha untuk menghulurkan tangan bagi membantu mereka.

    Bayangkan otak kita umpama satu bekas atau balang jernih yang berisi air, dan di dalamnya terdapat pasir-pasir tenggelam di bahagian dasarnya. Apabila bekas itu digoncangkan airnya bertukar keruh, pasir-pasir ‘berterbangan’ mengabutkan penglihatan.

    Begitulah juga dengan keadaan minda kita. Semakin ‘bergoncang’ atau sibuk otak kita dengan aktiviti-aktiviti rutin dan masalah seharian semakin ‘kabut’ dan kacaulah pemikiran kita.

    Luangkan masa bersama orang tercinta dengan memancing sambil menikmati keindahan alam sekitar.
    Kesibukan hidup terutama dengan pekerjaan dapat mempengaruhi kesihatan mental kita.

    Oleh itu pentingnya bagi kita untuk berhenti sejenak daripada rutin harian kita.

    Berehat dan melakukan aktiviti yang boleh menenangkan fikiran. Dalam erti kata lain “biarkan pasir-pasir kembali tenggelam ke dasar agar air kembali jernih.”

    Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan fikiran. Antaranya adalah dengan melakukan kegiatan fizikal atau riadah misalnya berkebun, bersiar-siar, mendaki bukit atau keluar memancing.

    Aktiviti memancing sememangnya sejak dahulu lagi sudah dikaitkan sebagai aktiviti yang boleh menenangkan jiwa dan fikiran.

    Memancing bukan hanya untuk mendapatkan ikan. Kadang-kadang kita turun padang sekadar untuk mengisi masa lapang, bersuka-suka bersama keluarga atau rakan, atau untuk melapangkan fikiran serta menghilangkan stres setelah penat bekerja dan melayan kerenah bos di pejabat, guru-guru di sekolah atau mungkin sahaja masalah dalam hubungan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...