BEIJING, 13 OGOS – Gergasi internet China, Tencent, hari ini melaporkan pertumbuhan pendapatan dua angka bagi tiga suku berturut-turut, mengatasi jangkaan, ketika syarikat itu mula melancarkan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dalam permainan dan aplikasi pemesejannya.
Tencent yang berpangkalan di Shenzhen, ialah pengendali aplikasi pelbagai fungsi China, WeChat, serta pemain utama dalam industri permainan global.
Syarikat itu juga mempunyai kehadiran dalam bidang pengkomputeran awan, hiburan dan AI, dengan chatbot Yuanbao miliknya antara perkhidmatan AI paling popular di China.
Pendapatan Tencent bagi tiga bulan sehingga 30 Jun mencatatkan 184.5 bilion yuan (AS$25.7 bilion), menurut pemfailan kepada Bursa Saham Hong Kong, meningkat 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Angka itu mengatasi anggaran Bloomberg yang menjangkakan kenaikan sebanyak 11 peratus.
Bagi separuh pertama 2025, pendapatan meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan pecahan jualan, Tencent berkata pendapatan daripada permainan domestik meningkat 17 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, manakala permainan antarabangsa melonjak 35 peratus.
Keuntungan bersih syarikat bagi suku terkini juga meningkat 17 peratus berbanding tahun lalu kepada 55.6 bilion yuan. – AFP


