BEIJING, 4 FEB – Syarikat gergasi teknologi China, Tencent berkata ia memecat lebih 120 pekerja pada tahun lepas kerana melanggar peraturan anti-penipuan, termasuk rasuah dan penyelewengan.
Syarikat yang disenaraikan di Hong Kong itu ialah pembuat permainan video terkemuka dunia dan pemilik aplikasi amat popular WeChat, yang dipasang pada hampir setiap telefon di negara ini.
Pengasas Tencent, Pony Ma pada 2022 menyifatkan tahap rasuah dalam syarikatnya sebagai ‘mengejutkan’, dan firma itu berjanji akan mengambil tindakan, menurut laporan media kerajaan.
Tahun lepas, lebih 70 pelanggaran kod tingkah laku dilaporkan, kata Tencent.
“Lebih 120 orang telah dipecat” daripada syarikat itu dan hampir 20 dilaporkan kepada pihak berkuasa, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beberapa pekerja yang dipecat adalah ahli cawangan PCG kumpulan itu, bertanggungjawab untuk menyiarkan kandungan seperti berita, sukan dan filem.
Yang lainnya bekerja di bahagian perkhidmatan perubatan kumpulan itu, sektor di mana aplikasi teleperubatan Tencent mempunyai bahagian pasaran yang besar di China.
Salah seorang pekerja yang terlibat dengan Tencent dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda 100,000 yuan (AS$14,000), menurut kenyataan akhbar itu.
Pengumuman itu keluar selepas kesukaran selama bertahun-tahun di gergasi teknologi China.- AFP