BEIJING, 17 FEB – Syarikat gergasi teknologi China, Tencent, hari ini mengumumkan bahawa ia telah memulakan ujian percubaan model pemikiran kecerdasan buatan (AI) mereka sendiri selepas menggabungkan DeepSeek ke dalam beberapa produk mereka, dengan menyatakan bahawa langkah itu akan menjadikan respons lebih ‘manusiawi’.
Perniagaan AI baharu yang berkembang pesat dari China, DeepSeek, mencuri perhatian global bulan lepas apabila melancarkan chatbot R1 yang dikatakan mampu menandingi pesaing Amerika pada kos yang jauh lebih rendah.
Sejak itu, beberapa syarikat besar China mengumumkan bahawa mereka akan menggabungkan teknologi DeepSeek ke dalam produk mereka.
Hari ini, Tencent menyatakan dalam sebuah catatan di WeChat – platform media sosial yang dimilikinya, bahawa pengguna terpilih chatbot Yuanbao boleh mengajukan soalan kepada DeepSeek atau model pemikiran AI buatan mereka sendiri yang dinamakan Hunyuan Thinker. – AFP
