Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenggiri batang digelar ‘emas putih’

    Oleh Raz AS –

    Ikan tenggiri batang atau juga dikenali sebagai narrow-barred spanish mackerel , nama saintifiknya scomberomorus commerson, merupakan spesies ikan mackerel daripada keluarga scombridae yang boleh didapati secara meluas di Asia Tenggara, pesisir pantai timur Afrika, dari Timur Tengah, sepanjang pesisir utara Laut Hindi dan hinggalah barat daya Lautan Pasifik.

    Ikan ini, seperti ikan lainnya daripada spesies mackerel, boleh dikenali dengan bentuk badannya yang tirus memanjang seakan-akan torpedo, berwarna hijau kebiruan dan keperak-perakan dan mempunyai jalur kebiruan atau kelabu daripada bahagian atas badannya dan mulai mengabur pada bahagian abdomennya.

    Ikan tenggiri batang, yang mempunyai gigi yang tajam dan dikenali sebagai pemangsa ganas dan oportunistik dengan ketangkasan dan kekuatan renangnya, dikatakan boleh membesar sehingga 200cm atau dua meter panjang dengan berat maksimum mencecah sehingga 70 kilogram. Meskipun begitu rekod IGFA bagi tangkapan terbesar tenggiri batang oleh pemancing adalah seberat 45 kilogram.

    Ikan ini membiak di kawasan terumbu, di mana telur-telurnya akan dilepaskan dan diselaputi dengan minyak yang akan membolehkannya terapung dan berada di bahagian kolum atas air, yang mana suhu air dan kandungan oksigen lebih tinggi serta mempunyai banyak plankton sebagai sumber makanan anak ikan setelah telur menetas.

    Pada peringkat ini se-hinggalah juvenil, ikan tenggiri batang dipercayai hanya akan berada di antara kalangan spesiesnya sendiri, sifat yang tidak ada pada spesies lain daripada genus yang sama. Apabila dewasa, baharulah ia akan bercampur dan berenang bersama spesies lain daripada genus yang sama.

    Dianggap sebagai salah satu spesies game fish terhebat di dunia, kerana renangan derasnya dan keupayaan melompat ke udara beberapa kali, pemancing-pemancing rekreasi di seluruh dunia sanggup mengembara jauh untuk menduga kehebatan tenggiri batang. – Gambar oleh Oneoceanbiggame
    Selalunya perambut dawai pendek kira-kira panjang sejengkal diikat bagi menghindari tali putus akibat giginya yang setajam pisau cukur. – Gambar dari Shopee Malaysia

    Ikan tenggiri batang betina mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada jantan, dan akan mencapai usia matang setelah kira-kira dua tahun atau mencapai panjang 80cm.

    Waktu mengawan bagi ikan tenggiri batang selalunya bermusim, namun di kawasan tropika yang mempunyai suhu air yang tinggi ia adalah berpanjangan. Oleh yang demikian nelayan-nelayan di kawasan beriklim sejuk selalunya akan memburu ikan ini sebelum musim mengawan bermula, yang mana pada ketika itu tahap keagresifan ikan tersebut dalam memburu makanan adalah berada di tahap yang tinggi.

    Mempunyai nilai yang tinggi di pasaran dan mempunyai rasa yang sedap untuk dijadikan hidangan, ikan tenggiri batang menjadi buruan nelayan-nelayan komersial dan juga persendirian.

    Menurut laporan berita dari Taiwan, ikan tenggiri batang juga diberi nama julukan sebagai ‘emas putih’ yang menandakan betapa mahalnya nilai harga ikan itu di sana, di mana seekor ikan tenggiri batang seberat 34 kilogram telah dijual pada harga NT$100,000 bersamaan dengan AS$4,232 pada tahun 2022.

    Dianggap sebagai salah satu spesies game fish terhebat di dunia, kerana renangan derasnya dan keupayaan melompat ke udara beberapa kali, pemancing-pemancing rekreasi di seluruh dunia sanggup mengembara jauh untuk menduga kehebatan tenggiri batang.

    Antara teknik utama yang digunakan untuk memburu ikan ini adalah dengan menghanyut umpan hidup, menggunakan pelampung atau belon, tundaan, kaedah jigging dan menggunakan stick bait. Selalunya perambut dawai pendek kira-kira panjang sejengkal diikat bagi menghindari tali putus akibat giginya yang setajam pisau cukur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda