ANTANANARIVO, 3 SEPT – Madagascar meraikan pemulangan dari Perancis tiga tengkorak lelaki yang dibunuh oleh tentera Perancis 128 tahun lalu dalam satu upacara kelmarin, termasuk satu yang dipercayai milik seorang raja yang dipenggal.
Perancis menyerahkan tengkorak-tengkorak tersebut di Paris pada 27 Ogos, iaitu pemulangan pertama seumpamanya sejak ia meluluskan undang-undang pada 2023 yang memudahkan pemulangan rangka manusia yang dirampas semasa penaklukan kolonialnya.
Tengkorak-tengkorak itu dipercayai milik Raja Toera dari kaum Sakalava, yang dipenggal oleh tentera Perancis pada 1897, serta dua orang pahlawan baginda.
Rangka itu tiba di Madagaskar lewat malam Isnin dan diterima di lapangan terbang oleh anggota kumpulan Sakalava yang mengenakan pakaian tradisional.
Diletakkan dalam tiga kotak yang dilapik dengan bendera negara Lautan Hindi itu, mereka dibawa melalui ibu negara Antananarivo ke makam bandar itu pada Selasa, di mana mereka disambut oleh Presiden Andry Rajoelina dan para pemimpin kerajaan serta tokoh Sakalava. – AFP


