BANGKOK, 2 OKT – Satu rekonstruksi digital tengkorak berusia sejuta tahun mencadangkan manusia mungkin telah berpisah daripada nenek moyang kita 400,000 tahun lebih awal daripada yang disangka dan di Asia, bukan Afrika, menurut satu kajian pada Jumaat lalu.
Penemuan itu berdasarkan rekonstruksi tengkorak yang remuk, ditemui di China pada tahun 1990 dan berpotensi menyelesaikan persoalan lama dikenali sebagai ‘Muddle in the Middle’ dalam evolusi manusia, kata para penyelidik.
Namun, pakar yang tidak terlibat dalam kajian itu mengingatkan bahawa penemuan itu kemungkinan besar akan dipertikaikan, dan menekankan ketidakpastian yang masih berterusan dalam garis masa evolusi manusia.
Tengkorak yang dinamakan Yunxian 2 sebelum ini dipercayai milik nenek moyang manusia yang dipanggil Homo erectus.
Namun teknologi rekonstruksi moden mendedahkan ciri-ciri yang lebih hampir dengan spesies yang sebelum ini difikirkan wujud kemudian dalam evolusi manusia, termasuk Homo longi yang baru ditemui dan Homo sapiens kita sendiri.

“Ini mengubah banyak pemikiran,” kata Chris Stringer, seorang ahli antropologi di Muzium Sejarah Semula Jadi, London, yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik.
“Ia mencadangkan bahawa sejuta tahun lalu, nenek moyang kita sudah berpecah kepada kumpulan yang berbeza, menunjukkan perpecahan evolusi manusia yang lebih awal dan lebih kompleks daripada yang dipercayai sebelum ini,” tambahnya.
Jika penemuan ini benar, ia mencadangkan mungkin terdapat ahli awal hominin lain yang muncul lebih awal, termasuk Neanderthal dan Homo sapiens, menurut kajian itu.
Penemuan itu juga ‘menambah kekeliruan’ terhadap andaian lama bahawa manusia awal tersebar dari Afrika, kata Michael Petraglia, Pengarah Pusat Penyelidikan Evolusi Manusia Australia di Universiti Griffith, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.
“Terdapat perubahan besar yang mungkin berlaku di sini, di mana Asia Timur kini memainkan peranan penting dalam evolusi hominin,” katanya kepada AFP. – AFP

