Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tengku Zafrul terharu dicalonkan sebagai Presiden Baharu BAM

    KUALA LUMPUR, 25 MAC – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz merendah diri dan terharu dengan pengiktirafan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang mencalonkan beliau sebagai presiden baharu bagi penggal 2025-2029.

    Tengku Zafrul yang menerima pencalonan itu mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memimpin persatuan itu.

    “Jika dipilih, saya akan berkhidmat dengan BAM dan sukan badminton dengan sebaik mungkin demi penyokong badminton di seluruh Malaysia,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

    Terdahulu, Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.

    Subramaniam berkata pencalonan itu mencerminkan keperluan kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi memacu persatuan itu ke hadapan.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. – Bernama

    Pemilihan BAM dijadualkan berlangsung pada 10 Mei semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton negara berkenaan.

    Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan awal tahun lepas.

    Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan sehingga tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris.

    Selepas berakhirnya temasya sukan di Paris, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM pada Mei ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda