Beberapa hari yang lalu, saya meluangkan masa untuk menonton sebuah filem baharu di pawagam.
Saya menantikan pengalaman menonton yang tenang dan selesa, kerana sudah lama tidak menonton wayang akibat sibuk bekerja. Namun, harapan itu tidak kesampaian.
Sejak babak awal lagi, saya menyedari penonton remaja di belakang saya tidak henti-henti memberi komen pada setiap babak dalam filem tersebut.
Malah, mengulang dialog watak seolah-olah sedang menonton di rumah sendiri.
Bunyi bisik pun sudah cukup mengganggu dalam ruang yang tertutup, apatah lagi jika disertai dengan suara kuat dan reaksi yang berlebihan.
Setiap kali saya cuba fokus pada filem berkenaan, suara-suara di belakang amat mengganggu hingga hilang tumpuan.
Sebagai seorang penonton yang telah membayar harga tiket – yang tidak murah – saya merasakan gangguan seperti ini merosakkan pengalaman menonton di pawagam.
Ruang hiburan awam seperti ini sepatutnya menjadi tempat untuk menghormati kehadiran orang lain, bukan sekadar melayan keseronokan sendiri. Saya percaya pihak pengurusan pawagam boleh mengambil langkah lebih berkesan, antaranya meletakkan notis peringatan yang lebih jelas, membuat pengumuman sebelum tayangan bermula tentang etika menonton dan bersedia mengambil tindakan jika berlaku gangguan keterlaluan.
Syabil







