PARIS, 31 Mei – Seorang pemain tenis dari Perancis yang cuba untuk mencium wartawan televisyen tanpa kerelaan ketika tayangan secara langsung di Roland Garros diharamkan dari kejohanan itu pada Selasa atas ‘kelakuannya yang seharusnya dikeji’.
Maxime Hamou, 21 (gambar) memegang leher dan bahu wartawan Eurosport, Maly Thomas ketika dia menemu bualnya berikutan kekalahan pusingan pertamanya pada Isnin lalu.
“Ia sejujurnya tidak menyenangkan. Jika bukan secara langsung di udara, saya sudah menumbuknya,” Thomas memberitahu Huffington Post edisi Perancis.
Hamou, pemain nombor 287 dunia, kemudiannya diharamkan dari kawasan Roland Garros oleh para penganjur.
“Pengarah kejohanan telah memutuskan untuk membatalkan kebenaran Maxime Hamou berikutan kelakuannya yang seharusnya dikeji terhadap seorang wartawan Isnin lalu,” menurut kenyataan Roland Garros.
Jurucakap Eurosport memberitahu AFP bahawa tindakan Hamou adalah ‘tidak sesuai’.
“Kami kesal dengan insiden yang berlaku ketika temu bual malam semalam di antara Maly Thomas dan Maxime Hamou. Kelakuan orang yang ditemu bual adalah tidak sesuai dan kami tidak membiarkan kelakuan itu dalam apa jua cara sekalipun,” kata jurucakap itu.
“Maly adalah seorang wartawan yang begitu dihormati dan kami gembira permohonan maaf telah dinyatakan. Kami memohon maaf kepada penonton yang mungkin terjejas.”
Hamou sudah mendapat kecaman ketika perlawanan kelayakan minggu lalu apabila dia menjerit kepada umpire: “Mengapa anda berada di sini?” – AFP