Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenkara, layangan dari negara matahari terbit

    Oleh Raz AS

    Apabila disebut tentang umpan layang atau fly, bagi kebanyakan pemancing ia lebih sinonim dengan teknik pancingan layang atau fly fishing dan perambut anjun atau sabiki rig.

    Selain daripada kedua-dua kaedah tersebut, ada satu lagi teknik pancingan yang menggunakan umpan layang, namun kurang dikenali ramai. Teknik yang lahir dari negara matahari terbit, Jepun kira-kira 400 tahun yang lalu ini, disebut sebagai Tenkara.

    Berbeza dengan teknik pancingan layang dari barat, tenkara hanya terdiri daripada sebatang joran, tali dan umpan layang, tanpa penggunaan reel. Oleh yang demikian, teknik ini dianggap lebih senang berbanding pancingan layang kerana si pemancing tidak perlu melakukan lontaran jauh dengan tali yang menganjur panjang.

    Selama ratusan tahun, tenkara digunakan oleh orang Jepun di jeram-jeram dan sungai-sungai kecil di kawasan pergunungan untuk menangkap ikan-ikan kecil, seperti amago, yamame dan iwana. Ikan-ikan ini hanya membesar sehingga kira-kira 15 inci panjang, dan kebanyakannya bersaiz lebih kecil daripada itu. Oleh itu tali panjang dan lontaran jauh tidak diperlukan.

    Joran tenkara secara tradisionalnya diperbuat daripada buluh, dan kini ia boleh didapati daripada jenis gentian kaca atau gentian karbon yang telescopic bagi memudahkan ia dibawa ke mana-mana. Panjang antara 11 hingga 15 kaki adalah saiz joran yang biasa digunakan, namun ada juga tersedia dalam saiz yang lebih pendek.

    Selama ratusan tahun, tenkara digunakan oleh orang Jepun di jeram-jeram dan sungai-sungai kecil di kawasan pergunungan untuk menangkap ikan-ikan kecil.
    Berbeza dengan teknik pancingan layang dari barat, tenkara hanya terdiri daripada sebatang joran, tali dan umpan layang, tanpa penggunaan reel.

    Tali tenkara pula, seperti tali pancing layang, membolehkan pemancing melontar umpan layang yang sangat ringan. Ia diperbuat daripada monofilament atau fluorocarbon.

    Sementara itu, tali perambutnya menggunakan tippet yang biasa digunakan untuk pancing layang.

    Salah satu lagi perbezaannya dengan pancingan layang dari barat, tenkara lebih menekankan kepada aspek pancingan berbanding pemilihan umpan layang. Ini bermakna persembahan umpan adalah lebih penting daripada reka bentuknya.

    Jika pancingan layang mempunyai reka bentuk umpan yang meniru serangga dengan tepat, seperti dry fly untuk meniru serangga yang timbul di permukaan dan wet fly untuk serangga yang tenggelam, teknik tenkara pula kebanyakannya hanya menggunakan jenis wet fly yang langsung tidak menyerupai apa-apa jenis serangga yang ada.

    Sama ada pada kedalaman 2-5 inci di bawah permukaan mahupun di atas permukaan, tenkara hanya menggunakan wet fly. Tahap kedalaman persembahan umpan ini dikawal menggunakan ketinggian hujung joran dengan mengangkatnya.

    Sekiranya umpan dilontar melawan arus, semakin dekat umpan itu hanyut semakin tinggilah hujung joran diangkat. Apabila joran telah diangkat terlalu tinggi sehingga strike yang efektif tidak mungkin untuk dilakukan sekiranya ikan menyambar umpan, umpan perlulah diangkat dari air dan dilontar sekali lagi.

    Oleh yang demikian lontaran melawan arus hanya memakan sedikit masa sebelum ia perlu untuk dilontar kembali.

    Manakala bagi lontaran mengikut arus pula tali pancing perlu dipastikan sentiasa tegang untuk memastikan umpan timbul kerana tolakan arus.

    Walau bagaimanapun, tidak kiralah untuk persembahan di bawah mahupun atas permukaan, hujung joran perlu sentiasa diangkat dan tali sedikit tenggang dengan hanya hujung tali dan umpan layang yang mencecah ke air. ini membolehkan pemancing senang melihat sambaran ikan dan seterusnya mata kail mudah tertancap ke mulut ikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda