Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera AA rampas bandar, pos Junta di Myanmar

    YANGON, 15 JAN – Kumpulan etnik minoriti bersenjata di Myanmar berkata ia telah menawan sebuah bandar dan beberapa pos junta dekat sempadan Bangladesh dan India, dalam kegagalan terbaharu tentera yang sedang berdepan krisis.

    Pertempuran di negeri Rakhine dan Chin di barat Myanmar telah berlanjutan sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa junta 2021.

    AA adalah salah satu daripada puluhan kumpulan etnik minoriti bersenjata di wilayah sempadan Myanmar, yang kebanyakannya telah bertempur dengan tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948 berhubung autonomi dan kawalan sumber yang menguntungkan.

    Kumpulan itu berkata lewat kelmarin bahawa pejuang AA telah merampas bandar Paletwa di negeri Chin, sekitar 20 kilometer dari sempadan Bangladesh.

    Paletwa terletak di sungai Kaladan, yang diharapkan dapat digunakan oleh inisiatif infrastruktur yang disokong oleh New Delhi untuk menghubungkan timur laut India yang terkurung daratan ke Teluk Bengal.

    AA turut menyiarkan gambar yang dikatakan menunjukkan pejuangnya di luar balai polis dan pejabat pentadbiran am.

    Ia berkata ia kini mengawal semua perbandaran Paletwa, yang mempunyai populasi lebih 64,000 orang mengikut banci 2014.

    AA juga berkata ia telah menawan enam pangkalan tentera di sepanjang sempadan dengan negeri Mizoram India. – AFP

    Gambar ANN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda