SEOUL, KOREA SELATAN, 29 DIS – Amerika Syarikat (AS) telah memulakan vaksinasi ke atas tenteranya di Korea Selatan, tatkala negara sekutu di Asia itu melaporkan angka kematian COVID-19 harian tertinggi di tengah peningkatan kes dalam negara.
Tentera Amerika Syarikat Korea (USFK) berkata dalam satu kenyataan ia memulakan vaksinasi terhadap tentera dan pekerja penjagaan kesihatan awam, responder pertama dan pasukan USFK dengan vaksin Moderna hari ini.
Di antara mereka yang menerima suntikan vaksin ialah Jeneral Robert B Abrams, ketua kepada 28,500 tentera AS di Korea Selatan.
Ia berkata vaksin adalah bersifat 100 peratus suka rela dan bukan mandatori. Abrams berkata “Saya menggalak semua individu supaya menerima vaksin tersebut.”
Kenyataan USFK berkata lebih banyak vaksin dari Moderna, dan mungkin vaksin lain yang diluluskan FDA akan dihantar kepada USFK.
Penghantaran tentera AS adalah bertujuan mencegah serangan dari Korea Utara. Abrams berkata vaksin COVID-19 ‘adalah satu lagi alat yang akan membantu USFK mengekalkan kedudukan pertahanan yang kukuh.’
Kerajaan Korea Selatan telah berdepan kritikan bahawa ia terlalu perlahan dalam mengemukakan pelan pemerolehan vaksin. Kerajaan berkata hari ini ia akan menyediakan vaksin kepada 56 juta penduduk, jumlah yang cukup untuk 51 juta penduduk negara. Pegawai berkata mereka merancang memvaksinkan penduduk awam pada Februari. – AP
