Tentera AS di Korea Selatan positif COVID-19

SEOUL, 26 FEB – Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Korea Selatan diuji positif COVID-19, kata komander tentera hari ini, tatkala jumlah kes di negara itu melonjak lagi.

Askar terbabit, seorang lelaki berusia 23 tahun, adalah jangkitan pertama dalam kalangan 28,500 anggota tentera Washington yang ditempatkan di Korea Selatan bagi mempertahankannya daripada Korea Utara yang dilengkapi senjata nuklear.

Berpangkalan di Camp Carroll sejauh 30 kilometer di utara Daegu, Angkatan Tentera AS Korea berkata, askar itu telah dikuarantin di rumahnya, sambil menambah ia melakukan “jejak hubungan”

bagi menentukan sama ada tentera lain telah terdedah kepada jangkitan.

Sementara itu, pihak berkuasa Korea Selatan hari ini melaporkan 169 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti di negara itu 1,146, yang terbesar di luar China.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) berkata, seorang lelaki Mongolia berusia 30-an menjadi mangsa ke-11 meninggal dunia akibat penyakit itu, warga asing pertama menjadi mangsa wabak berkenaan.

Agensi berita Yonhap melaporkan lelaki itu berada di hospital di Korea Selatan kerana menunggu pemindahan hati.

Majoriti, iaitu 90 peratus jangkitan baharu adalah di Daegu, bandar keempat terbesar di Korea Selatan yang juga pusat penularan dan wilayah Gyeongsang Utara.

Kedua-dua bandar menyumbang kepada sebahagian besar jumlah dijangkiti virus berkenaan di negara itu.

Kawasan Daegu yang mempunyai penduduk 2.5 juta telah lengang selama beberapa hari, kecuali kelihatan barisan beratur panjang di beberapa kedai yang menjual topeng muka.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai berhati-hati, menasihati rakyat supaya tinggal di rumah jika mereka mengalami gejala demam atau pernafasan. – AFP