WELLINGTON, 31 MEI – Tentera New Zealand dikerah untuk memindahkan ratusan penduduk di South Island yang terjejas banjir hari ini, berikutan hujan lebat memusnahkan jambatan dan jalan raya.
Air sungai melimpah apabila kawasan itu menerima kira-kira 400mm hujan dalam tempoh dua hari, jumlah yang disifatkan pakar kaji cuaca sebagai melebihi jumlah hujan diterima tahun ini di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca merah dan mengisytiharkan darurat di wilayah Canterbury, satu daripada hab pertanian New Zealand.
Pasukan Pertahanan New Zealand berkata, satu helikopternya berjaya menyelamatkan tiga individu di Ashburton, dekat Christchurch, dengan seorang daripadanya sedang berpaut pada pokok, manakala dua lagi adalah pasangan warga emas di atas bumbung kereta.
Jelasnya, anggota tentera, trak dan ambulans turut membantu dalam usaha menyelamat dan pemindahan itu. – AFP