MOSCOW, 14 OGOS – Tentera Britain sedang bergelut untuk merekrut pakar keselamatan siber di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat daripada perniagaan dan kepentingan sektor siber terhadap kemampuan menyerang dan bertahan negara.
Perkara itu didedahkan Pengarah Urusan Pertahanan dan Keselamatan di syarikat penyumberan luar proses perniagaan dan perkhidmatan profesional Capita yang berpangkalan di London, Richard Holroyd, lapor Sputnik.
“Awda berkata kepada orang yang berminat dengannya, datang dan jadi pakar siber dalam angkatan tentera, tetapi Raytheon berkata datang dan jadilah pakar siber, BT berkata datang dan jadi pakar siber. Jadi dalam ruang itu, awda bersaing dalam pasaran buruh dengan pekerjaan penuh, ia adalah permainan yang sukar,” Holroyd dipetik sebagai berkata oleh akhbar The Telegraph, kelmarin.
Laporan itu menyatakan bahawa Capita hanya berjaya memenuhi 80 peratus sasaran pengambilan tenteranya pada tahun 2023, dengan kesukaran terbesar berkaitan dengan jawatan teknikal kerana setiap perkara berkaitan dengan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) adalah persekitaran yang sangat kompetitif dan kemahiran tersebut adalah sukar.
Britain berdepan kekurangan pekerja siber negara, dengan majikan mengalami kesulitan untuk mengisi hampir empat dari 10 jawatan yang berkaitan, menurut kerajaan negara tersebut. – Bernama


