Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Denmark uji bot layar robotik

    KOGE MARINA, DENMARK, 17 JUN – Sekilas pandang, bot layar ini kelihatan seperti kapal layar biasa dengan bendera merah-putih Denmark tertera pada layarnya. Namun sebenarnya, ia adalah bot layar robotik tanpa kru, direka khas untuk tujuan pengawasan maritim.

    Empat buah bot ‘Voyagers’ sepanjang 10 meter telah diperkenalkan oleh tentera Denmark untuk ujian operasi selama tiga bulan. Dihasilkan oleh syarikat Saildrone yang berpangkalan di Alameda, California, bot-bot itu akan melakukan rondaan di perairan Denmark dan NATO di Laut Baltik dan Laut Utara.

    Dua daripada bot itu dilancarkan dari Koge Marina, kira-kira 40km dari Copenhagen, dan dua lagi telah menyertai rondaan NATO pada 6 Jun lalu.

    Bergerak menggunakan kuasa angin dan solar, Voyagers ini mampu beroperasi secara autonomi selama berbulan-bulan di laut terbuka. Dilengkapi teknologi AI dan pembelajaran mesin, ia membawa pelbagai sensor canggih seperti radar, kamera inframerah, sonar dan mikrofon akustik, memberi gambaran penuh sehingga 50 kilometer di atas dan bawah permukaan laut.

    Menurut Richard Jenkins, pengasas dan CEO Saildrone, “Kami kini dapat memantau kawasan yang sebelum ini tiada mata dan telinga.”

    Antara ancaman maritim yang ingin dikesan termasuk kerosakan kabel dasar laut, penangkapan ikan haram, serta penyeludupan manusia, senjata dan dadah – yang sering berlaku tanpa disedari kerana kekurangan pemantauan.

    Kementerian Pertahanan Denmark menyatakan ujian ini bertujuan meningkatkan keupayaan pengawasan di kawasan perairan yang kurang dipantau, terutamanya berhampiran infrastruktur dasar laut seperti kabel fiber optik dan talian kuasa. – AP

    Sebuah Saildrone “Voyager”, berlabuh di Marina Koge di Koge, timur Denmark, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda