MANILA, 23 DIS – Tentera Filipina mengumumkan pihaknya merancang untuk memiliki sistem peluru berpandu Typhon dari Amerika Syarikat (AS) bagi melindungi kepentingan maritim negara itu.
Sistem peluru berpandu jarak sederhana itu telah dikerahkan oleh Tentera AS di utara Filipina, awal tahun ini untuk latihan ketenteraan bersama sekutu lama mereka.
Namun keputusan diambil untuk meninggalkannya di lokasi tersebut, meskipun mendapat kritikan keras dari Beijing yang menganggap kehadiran sistem itu sebagai ancaman kepada kestabilan Asia.
Sejak itu, sistem berkenaan digunakan oleh pasukan Filipina untuk melatih operasi mereka. “Ia dirancang kerana kami melihat kebolehlaksanaan dan fungsinya dalam konsep pelaksanaan pertahanan kepulauan kami,” kata Ketua Tentera Darat Filipina, Leftenan Jeneral Roy Galido dalam sidang akhbar.
“Saya dengan gembiranya melaporkan tentera kami sedang membangunkan keupayaan ini demi melindungi kedaulatan negara,” katanya sambil menambah jumlah yang akan diperoleh bergantung kepada ‘ekonomi’.
Berdasarkan peraturan, proses untuk memperoleh sistem senjata baharu oleh tentera Filipina mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dari peringkat perancangan, kata Galido. Malah, katanya, ia belum dimasukkan dalam bajet 2025.
Ia mengambil masa lima tahun untuk Manila menerima penghantaran peluru berpandu jelajah BrahMos tahun lepas, tambahnya.
Pelancar peluru berpandu berasaskan darat yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin untuk Tentera AS, mempunyai jarak 480km walaupun versi dengan jarak yang lebih panjang sedang dibangunkan.
Namun, China pantas mengecam keputusan untuk memiliki sistem itu sebagai ‘langkah provokatif dan berbahaya’ dan memberi amaran ia berisiko mencetuskan ‘persaingan senjata’. – AFP