BANDAR GAZA, 29 DIS – Kumpulan bersenjata Palestin melancarkan latihan tentera di Gaza hari ini, termasuk menembak roket ke laut, untuk menandakan ulang tahun bermulanya konflik dengan Israel pada 2008.
Demonstrasi dijadual berlangsung beberapa jam dan membabitkan 10 kumpulan di enklaf Palestin, kata jurucakap untuk tentera Briged Al-Quds, sayap bersenjata Islamic Jihad.
Matlamat latihan, yang pertama seumpamanya, adalah untuk ‘memperkukuh kemahiran penggempur’ dan menunjukkan ‘perpaduan’ kumpulan bersenjata di Gaza, tambah jurucakap.
Hamas, kumpulan Islam yang telah mengawal Gaza sejak 2007, juga mengambil bahagian. Televisyen Hamas Al-Aqsa menunjukkan roket ditembak dari semenanjung hari ini ke Laut Mediterranean.
Tentera Israel berkata alat pelancar roket dilancarkan dari Gaza semalaman hingga hari ini, namun ia tidak memasuki wilayah Israel.
Israel tidak bertindak balas terhadap pelancaran dengan serangan udara, seperti yang biasa dilakukannya apabila roket ditembak dari Gaza ke Israel.
Latihan juga diadakan beberapa hari selepas Hamas menuduh Israel melancarkan serangan yang memusnahkan sebuah hospital kanak-kanak.
Israel, yang berkata ia menjalankan serangan udara pada hujung minggu dalam respons terhadap tembakan roket dari Gaza, menafikan peluru berpandu terkena hospital. – AFP
