Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera India giat kesan puluhan mangsa hilang selepas banjir Himalaya

    NEW DELHI, 6 OGOS – Pasukan tentera India hari ini dikerahkan bersama anjing pengesan, dron dan jentera berat bagi mencari puluhan mangsa yang masih hilang susulan kejadian banjir kilat di kawasan pergunungan Himalaya yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.

    Menurut pegawai penyelamat, lebih 50 individu dilaporkan hilang apabila arus deras membawa lumpur dan serpihan menimbus bandar Dharali di negeri Uttarakhand, kata pegawai penyelamat hari ini.

    Pakar perubahan iklim menyifatkan bencana itu sebagai satu ‘amaran keras’ terhadap kesan pemanasan global yang semakin meningkat.

    Kejadian tragik itu turut menyebabkan kerosakan teruk pada infrastruktur, sekali gus menyukarkan usaha mencari dan menyelamat. Komunikasi di kawasan terjejas juga terganggu apabila talian telefon rosak akibat banjir.

    “Usaha mencari masih diteruskan,” kata pegawai dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Mohsen Shahedi.

    Shahedi berkata lebih 50 penduduk Dharali masih hilang, manakala 11 anggota tentera turut dilaporkan hilang di kawasan kampung Harsil yang terletak di hilir sungai.

    Tentera India dalam kenyataannya memaklumkan bahawa unit tambahan telah digerakkan bersama anjing pengesan, dron logistik dan peralatan pengorek untuk mempercepatkan operasi.

    Helikopter tentera turut digunakan bagi menghantar bekalan keperluan asas dan memindah mangsa yang terkandas setelah jalan-jalan utama rosak. Namun, operasi penerbangan berdepan cabaran disebabkan hujan dan kabus tebal. – AFP

    Orang ramai berdiri di sebelah jalan yang rosak di sebuah kampung berhampiran Uttarkashi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda