JAKARTA, 29 OGOS – Tentera Indonesia telah menahan tiga askar kerana disyaki menculik, menyeksa dan membunuh orang awam dalam komplot peras ugut, kata pegawai-pegawai hari ini.
Menurut pihak tentera, mangsa diseksa hingga mati dan media tempatan melaporkan mayatnya kemudian ditemui di sebatang sungai di bandar Karawang, Jawa Barat.
Saudara-mara mengenal pasti mangsa sebagai Imam Masykur berusia 25 tahun, menurut laporan media tempatan.
Keluarga berkenaan berkata, askar-askar berkenaan cuba memerasnya bagi 50 juta rupiah (AS$3,278) sebelum dia dibunuh.
“Kes ini melibatkan tiga anggota tentera daripada unit Rejimen Keselamatan Presiden (Paspampres) dan Tentera Darat,” kata jurucakap tentera Indonesia, Brigedier Jeneral Hamim Tohari pada sidang media hari ini.
“Apa yang pasti, ia bermula dengan penculikan, peras ugut dan serangan yang membawa kepada kematian.” – AFP
