GAZA, 1 APRIL – Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa, kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza selepas diduduki selama 14 hari dan ditinggalkan dalam keadaan musnah sepenuhnya dengan ramai yang terkorban, lapor agensi Anadolu (AA).
Saksi berkata, tentera Israel berundur sepenuhnya daripada Hospital Al-Shifa dan penempatan sekitar, bergerak ke arah selatan kejiranan Tel al-Hawa di barat daya Gaza.
Sebelum berundur, tentera Israel membakar semua bangunan Hospital Al-Shifa menjadikannya tidak boleh beroperasi langsung. Bilik pembedahan dan wad hospital runtuh sepenuhnya, sementara bahagian lain termasuk tempat menyambut pelawat dan unit kecemasan dibakar memusnahkan kesemua peralatan perubatan di dalamnya, menurut saksi.
Saksi juga berkata, tentera Israel turut membakar unit rawatan buah pinggang, kanser, mangsa kebakaran, wad bersalin dan rumah mayat selain daripada meruntuhkan bangunan klinik pesakit luar.
Mereka berkata ramai yang terkorban di Hospital Shifa dan jalan raya sekitarnya seperti Omar al-Mukhtar, Izz ad-Din al-Qassam, Abu Hasira, Bekir, dan Habbush sementara tentera Israel memusnahkan perkuburan sementara warga Palestin di Hospital Shifa dengan mengeluarkan mayat dan meletakkannya di kawasan lain dalam hospital itu.
Hospital itu dikepung pada 18 Mac lepas, sejak itu tentera Israel membunuh lebih daripada 400 warga Palestin dan memusnahkan lebih 1,050 kediaman dalam serangan 14 hari ke atas Hospital Al-Shifa di Bandaraya Gaza, lapor pejabat media kerajaan Sabtu lalu. – Bernama
