Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Israel cederakan kanak-kanak Palestin

    BAITULMAQDIS, 28 Feb – Dua warga Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dicederakan oleh peluru getah yang dilepaskan oleh tentera Israel petang kelmarin, ketika pergelutan di kem pelarian Shufat, di Timur Baitulmaqdis yang ditawan, menurut jurucakap Fatah di kem tersebut.

    Thaer al-Fasfous memberitahu Ma’an bahawa, puluhan pegawai polis Israel menyerbu kem itu dan mula menggeledah stor-stor, membuatkan orang-orang awam bertempur bersama mereka.

    Tentera Israel, katanya, “memandikan kem itu” dengan gas pemedih mata dan melepaskan peluru getah “secara sembarangan”.

    Akibatnya, seorang remaja lelaki terkena tembakan itu di dada.

    Tentera Israel kemudian “menahan budak yang cedera itu untuk lebih dari satu jam di pusat pemeriksaan di Shufat, sebelum sebuah ambulans, diikuti kereta jip tentera berupaya membawanya ke hospital,” ujar al-Fasfous.

    Kanak-kanak Palestin yang tinggal di kejiranan Baitulmaqdis. – AFP
    Kanak-kanak Palestin yang tinggal di kejiranan Baitulmaqdis. – AFP

    Seorang budak perempuan sembilan tahun juga terkena tembakan di kaki dan menerima rawatan di pusat perubatan di kem berkenaan.

    Al-Fasfous menambah bahawa, tentera Israel juga menahan seorang lelaki muda “selepas memukulnya secara kejam,” dan ketika serbuan itu, polis-polis Israel mengenakan saman trafik kepada beberapa pemandu tempatan.

    Seorang jurucakap polis Israel tidak secara terus didapati untuk memberikan sebarang ulasan berikutan insiden tersebut.

    Kem pelarian Shufat terletak di timur laut Baitulmaqdis dalam lingkungan sempadan perbandaran Israel, namun ia dikelilingi tiga bahagian oleh tembok pemisah Israel, memaksa penduduk untuk melalui pusat pemeriksaan tentera untuk mengakses kawasan-kawasan Baitulmaqdis selebihnya di mana kebanyakannya menuntut status penduduk.

    Pada September tahun lepas, kem tersebut mengalami sekurang-kurangnya tujuh hari berturut-turut serbuan kejam dalam minggu-minggu berikutan satu penembakan maut di kem penduduk oleh tentera Israel. Sementara itu, kem tersebut jua merupakan tapak pertempuran ganas di antara tentera Israel dan belia-belia Palestin. – NNN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda