Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Israel gesa semua penduduk tinggalkan Bandar Gaza

    SEMENANJUNG GAZA, WILAYAH PALESTIN, 10 JULAI – Tentera Israel menggugurkan beribu-ribu risalah di atas Bandar Gaza hari ini, menggesa semua penduduk melarikan diri daripada serangan sengit yang telah menggegarkan bandar utama Palestin yang terkepung itu.

    Risalah-risalah itu, yang ditujukan kepada ‘semua orang di Bandar Gaza,’ menetapkan laluan melarikan diri ke selatan dan memberi amaran bahawa kawasan bandar itu, yang sebelum ini menempatkan lebih setengah juta orang, akan ‘kekal sebagai zon tempur berbahaya’.

    Amaran-amaran itu menyusuli tiga arahan pemindahan separa dan dibuat ketika tentera Israel, disokong kereta-kereta kebal dan pesawat, telah memerangi Hamas dan pejuang-pejuang kumpulan lain dalam operasi tempur paling sengit yang pernah dilihat bandar itu dalam beberapa bulan.

    Dalam satu operasi, tentera itu berkata ia telah membunuh ‘militan’ dan menemui senjata dalam ibu pejabat Agensi PBB untuk Pelarian Palestin, UNRWA yang telah lama dikosongkan di Bandar Gaza.

    Di tempat lain di seluruh Gaza, serangan-serangan maut telah melanda empat buah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan dalam tempoh empat hari, membangkitkan kemarahan antarabangsa.

    Rakyat Palestin duduk di belakang pagar sambil melihat ketibaan mangsa-mangsa yang cedera atau terbunuh dalam pengeboman Israel berhampiran Khan Yunis ke hospital Nasser di bandar selatan Gaza pada 9 Julai. – AFP

    Peningkatan dalam pertempuran dan perpindahan itu berlaku ketika pengantara Qatar dijangka menyambung semula rundingan hari ini mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan untuk menamatkan perang, yang kini memasuki bulan ke-10.

    Delegasi Israel yang diketuai oleh ketua Mossad, David Barnea tiba di Doha untuk rundingan itu, kata sumber yang mengetahui tentang rundingan itu, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap mengenai perkara itu.

    Pengarah CIA, William Burns juga dijangka berada di ibu negara Qatar, selepas mengadakan rundingan di Kaherah, kelmarin.

    Pertempuran terbaharu di Gaza baru-baru ini telah menyebabkan 350,000 orang awam kehilangan tempat tinggal, kata ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, yang bercakap sebelum pelepasan risalah terbaharu itu dan berkata “sama sekali tidak ada ruang selamat di Gaza”.

    Seorang wanita yang membawa barang-barangnya melalui kawasan terbiar yang dibom, Nimr al-Jamal, memberitahu AFP kelmarin bahawa ‘ini adalah kali ke-12’ keluarganya terpaksa melarikan diri.

    “Berapa kali kami boleh bertahan? Seribu kali? Di manakah kita akan berakhir?”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda