Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Korea S terlepas tembakan

    Seoul, 29 JAN – Seorang askar Korea Selatan secara tidak sengaja melepaskan tembakan menggunakan senjata api automatik berhampiran sempadan dengan Korea Utara, menyebabkan tentera memaklumkan Pyongyang bahawa tembakan itu tidak disengajakan, kata laporan hari ini.

    Empat das tembakan dilepaskan semasa latihan di sepanjang sempadan di wilayah Gangwon pada petang kelmarin, lapor agensi berita Yonhap, memetik pegawai tentera Korea Selatan.

    Semua peluru mendarat di sebelah Selatan dan tiada kerosakan dilaporkan. Unit tentera segera memaklumkan Korea Utara bahawa tembakan itu tidak disengajakan dan meningkatkan tahap kesediaan, kata pegawai itu.

    “Tiada tanda-tanda tertentu telah dikesan dari pihak Utara, dan siasatan sedang dijalankan berhubung keadaan sebenar kejadian itu,” kata seorang pegawai tentera yang tidak dinamakan kepada Yonhap.

    Kedua-dua Korea secara teknikalnya kekal berperang selepas pertempuran dihentikan oleh gencatan senjata pada 1953, dan dipisahkan oleh zon demiliterisasi (DMZ) selebar 4 kilometer dan sejauh 250 kilometer merentasi semenanjung Korea.

    DMZ adalah salah satu tempat paling berkubu di bumi, penuh dengan periuk api dan pagar kawat berduri.

    Kali terakhir kedua-dua pihak berbalas tembakan di sempadan adalah pada Mei 2020, apabila sekurang-kurangnya empat peluru dari Korea Utara mengenai pos pengawal Korea Selatan di bahagian tengah DMZ, mendorong tentera Seoul membalas tembakan.

    Tentera Korea Utara juga menembak seorang pembelot pada 2017 tetapi Selatan tidak membalasnya. – AFP

    Gambar pada 19 Julai 2022, Tentera Korea Selatan dan A.S. berkawal di dalam zon demiliterisasi (DMZ) yang memisahkan dua Korea, Korea Selatan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda