SEOUL, KOREA SELATAN, 18 OGOS — Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) hari ini memulakan latihan ketenteraan bersama berskala besar bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Latihan selama 11 hari yang dinamakan Ulchi Freedom Shield (UFS) itu adalah siri kedua daripada dua latihan utama yang diadakan setiap tahun di Korea Selatan, selepas sesi pertama pada Mac lalu.
Seramai 21,000 anggota tentera terlibat, termasuk 18,000 dari Korea Selatan, membabitkan operasi pos komando berasaskan simulasi komputer serta latihan lapangan.

Walaupun digambarkan oleh kedua-dua sekutu sebagai latihan bersifat pertahanan, Korea Utara sejak sekian lama menuduh latihan itu sebagai persiapan pencerobohan dan sering menjadikannya alasan untuk mengadakan ujian senjata serta demonstrasi ketenteraan bagi mengukuhkan program nuklearnya.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Korea Utara, No Kwang Chol, berkata latihan itu mencerminkan sikap ‘konfrontasi ketenteraan’ sekutu berkenaan terhadap Pyongyang dan menegaskan tenteranya bersedia bertindak balas terhadap ‘sebarang provokasi yang melampaui garis sempadan’. – AP

