OTTAWA, 21 Sept – Penggubal undang-undang di Kanada semalam, sebulat suara mengisytiharkan tindakan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai.
Keputusan Dewan Rakyat itu, sekali gus mengesahkan hasil penemuan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjalankan misinya ke Myanmar, iaitu jenayah kemanusiaan berlaku terhadap etnik Rohingya dan tindakan itu disokong oleh komander tertinggi tentera Myanmar.
Dalam usul yang dikemukakan, penggubal undang-undang Kanada berkata, mereka mengakui jenayah ke atas Rohingya adalah satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
Justeru, mereka mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya merujuk kes itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa, selain menggesa siasatan ke atas jeneral tentera Myanmar dan mereka perlu didakwa kerana melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai.
“Saya mahu menekankan bagaimana tragik, bagaimana dahsyatnya jenayah terhadap penduduk Rohingya ini.
“Kami mahu mengetuai usaha antarabangsa untuk mendapatkan keadilan bagi Rohingya.
“Oleh itu, keputusan hari ini, adalah langkah penting bagi usaha berkenaan,” kata Menteri Luar, Chrystia Freeland.
Tindakan tentera Myanmar itu menyebabkan lebih 700,000 penduduk Islam Rohingya meninggalkan negara itu menuju ke Bangladesh. Mereka kini berlindung di beberapa kem penempatan sementara di negara itu. – AFP