MEXICO, 23 OKT – Tentera Mexico menembak mati 19 suspek anggota kartel Sinaloa selepas mereka diserang di negeri barat laut itu, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan kelmarin.
Anggota tentera diserang pada Isnin oleh lebih 30 orang berhampiran ibu negeri Culiacan, dan pertempuran yang meletus menyebabkan 19 anggota kartel terbunuh, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sinaloa telah menyaksikan peningkatan keganasan sejak penahanan pengasas bersama kartel, Ismael Zambada di Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.
Penangkapan Zambada telah mencetuskan perang antara keluarganya dan anak lelaki pengedar dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, yang merupakan pengasas bersama kartel itu.
Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa anggota kartel yang terbunuh pada Isnin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan puak Zambada.
Zambada, 76, ditahan pada 25 Julai di selatan AS, di mana dia tiba bersama Joaquin Guzman Lopez, salah seorang anak lelaki ‘El Chapo’.
Pengedar dadah veteran itu telah menuduh Lopez menculiknya dan menyerahkannya kepada penguatkuasa undang-undang AS.
‘El Chapo’ telah menjalani hukuman penjara seumur hidup di AS kerana mengedar dadah sejak 2019. – AFP