Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Mexico ditahan selepas tembak mati enam migran

    MEXICO CITY, 4 OKT – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, hari ini mengumumkan penahanan beberapa anggota tentera yang terlibat dalam insiden tembakan yang mengorbankan enam migran di lebuh raya di Chiapas, selatan negara itu.

    Dalam kejadian tersebut, empat migran maut di lokasi kejadian pada malam Selasa ketika menaiki sebuah kenderaan, manakala 12 lagi cedera, dengan dua daripada mereka meninggal dunia di hospital.

    Sementara itu, 17 mangsa lain dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

    “Kejadian ini amat dikesali dan perlu disiasat serta dihukum sewajarnya,” kata Sheinbaum dalam satu sidang media harian.

    Beliau turut memaklumkan bahawa anggota tentera yang melepaskan tembakan kini berada dalam tahanan Pejabat Peguam Negara Republik, yang akan menyiasat insiden tersebut secara terperinci bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab.

    Menurut Sheinbaum, kerajaan juga sedang berhubung dengan kedutaan-kedutaan negara asal migran terlibat bagi menyediakan sokongan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

    Insiden itu berlaku di Lebuh Raya Villa Comaltitlan-Huixtla, di mana tentera ketika itu sedang menjalankan ‘rondaan darat’.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan pada Rabu, anggota tentera telah mengesan sebuah trak yang dipandu laju dan cuba mengelak pemeriksaan di pos kawalan.

    Tentera turut mendakwa terdapat dua lagi kenderaan yang menyerupai jenis yang sering digunakan oleh penjenayah, mengiringi trak tersebut. Selepas mendengar bunyi letupan, dua anggota tentera melepaskan tembakan dan berjaya menghentikan salah satu kenderaan.

    Seramai 33 migran dari pelbagai negara, termasuk Mesir, Nepal, Cuba, India dan Pakistan, dikenal pasti berada dalam kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu, menurut laporan media tempatan. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda