KABUL, 10 MAC – Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) mula menarik semula tenteranya dari dua pangkalan di Afghanistan, kata seorang pegawai AS hari ini, selepas satu rundingan damai antara Kabul dan Taliban dicapai meskipun keganasan dan krisis politik masih berleluasa.
AS berminat untuk menamatkan konflik yang paling lama, dan di bawah syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani di Doha bulan lepas mengatakan semua tentera asing akan meninggalkan Afghanistan dalam tempoh 14 bulan – dengan syarat Taliban mengekalkan komitmen keselamatan mereka.
Di bawah perjanjian itu, AS pada mulanya sepatutnya mengurangkan kehadiran anggotanya dari kira-kira 12,000 pada masa ini kepada 8,600 menjelang pertengahan Julai, dan menutup lima daripada kira-kira 20 pangkalannya di seluruh negara.
Pasukan tentera mula meninggalkan sebuah pangkalan di Lashkar Gah, ibu kota wilayah Helmand di selatan, dan sebuah lagi pangkalan di Herat di timur, seorang pegawai AS memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
“Bagaimanapun, anggota AS masih mengekalkan semua langkah ketenteraan untuk mencapai matlamat kami,” kata Kolonel Sonny Leggett, jurucakap Angkatan AS-Afghanistan, hari ini, merujuk kepada operasi pengganas dan sokongan Amerika untuk pasukan Afghanistan.
Helmand, yang bersama-sama dengan wilayah Kandahar dianggap sebagai kubu kuat Taliban, di mana pasukan AS dan British bergelut memerangi beberapa kempen berdarah dalam perang 18 tahun. – AP
