Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Myanmar kuasai semula bandar Shan

    BANGKOK, 3 OKT – Tentera Myanmar telah merampas semula kawalan ke atas ibu negeri daerah di Negeri Shan lebih setahun selepas kehilangan kawasan itu kepada kumpulan pemberontak etnik bersenjata, lapor media kerajaan kelmarin.

    Penguasaan semula Kyaukme, kira-kira 115 kilometer ke timur laut Mandalay, bandar kedua terbesar negara itu, merupakan satu lagi kekalahan yang dialami oleh militia etnik yang menentang tentera. Kejatuhan bandar itu tidak dapat disahkan secara bebas kerana tentera tidak membenarkan wartawan akses ke kawasan tersebut, namun dakwaan itu tidak dicabar. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera meningkatkan aktiviti di darat dan serangan udara bagi menawan semula kawasan yang dikuasai pihak pemberontak menjelang pilihan raya yang dijadual bermula 28 Disember.

    Kyaukme, yang terletak di laluan lebuh raya perdagangan utama menghubungkan Myanmar tengah ke China, sejak Ogos tahun lalu diletak di bawah kawalan Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA), anggota Pakatan Tiga Saudara yang terdiri daripada kumpulan bersenjata etnik.

    Laporan akhbar kerajaan, Myanma Alinn menyatakan Kyaukme berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera pada petang Rabu selepas operasi tiga minggu untuk menawan semula bandar itu. Laporan itu, yang menyiarkan gambar tentera di lokasi-lokasi utama bandar, menyatakan tentera sedang berusaha memulihkan fungsi pentadbiran bandar dan memastikan pemulangan selamat penduduk yang melarikan diri bagi mengelak pertempuran. – AP

    Tentera bergambar di hadapan pintu masuk Kyaukme, sebuah bandar yang telah dikuasai oleh pasukan penentang selama lebih setahun, di bahagian utara Negeri Shan, pada 1 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda