Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera NATO maut, dua cedera

    KABUL, 23 Okt – Anggota tentera NATO telah terkorban dan dua yang lain cedera dalam serangan yang dilakukan Taliban di Afghanistan kelmarin, beberapa hari selepas jeneral Amerika Syarikat (AS) cedera ditembak dalam mesyuarat keselamatan peringkat tinggi.

    Misi Bantuan Keamanan NATO belum mengeluarkan kenyataan mengenai warganegara tiga orang tentera yang terlibat dalam serangan yang berlaku di wilayah Herat, tetapi ia difahamkan bahawa mereka bukan rakyat Amerika.

    “Laporan awal menunjukkan serangan itu didalangi oleh anggota keselamatan Afghanistan,” menurut kenyataan Bantuan Keamanan.

    Serangan yang dikenali sebagai ‘green-on-blue’ merupakan serangan terbaharu di mana anggota keselamatan Afghanistan bertindak untuk menyerang tentera antarabangsa yang bekerjasama dengan mereka.

    Ia berlaku empat hari selepas lelaki bersenjata memakai pakaian seragam anggota keselamatan Afghanistan melepaskan tembakan ke arah perkumpulan ketua-ketua keselamatan termasuk Jeneral Scott Miller, komander tertinggi NATO dan AS di Afghanistan di selatan Kandahar.

    Gambar fail 2 September 2018 menunjukkan Jeneral Tentera AS, Scott Miller semasa berucap pada Misi Bantuan Keamanan di Kabul, Afghanistan. Jeneral Scott Miller antara yang menjadi mangsa tembakan namun beliau berjaya melepaskan diri tanpa mengalami kecederaan. – AP

    Miller tidak mengalami kecederaan semasa kejadian tembakan yang berlaku di dalam kompaun gabenor wilayah Kandahar yang telah membunuh tiga orang, termasuk ketua polis dan orang berpengaruh anti-Taliban, Jeneral Abdul Raziq.

    Bantuan Keamanan kelmarin mengesahkan Brigadier Jeneral AS Jeffery Smiley antara 13 orang yang cedera dalam serangan yang didalangi oleh Taliban.

    Smiley tidak mengalami kecederaan serius dan berada di Jerman untuk menjalani rawatan lanjut, menurut kenyataan.

    Menurut Taliban, serangan itu disasarkan ke arah Miller dan Raziq tetapi para pegawai AS dan Bantuan Keamanan berkata ia merupakan insiden ‘Afghan-on-Afghan’ dan ia tidak menyasarkan jeneral Amerika.

    Serangan itu berlaku sejurus selepas Tadeen Khan, abang kepada Raziq dan anggota keselamatan Afghan, dilantik menjadi pemangku ketua polis wilayah, menurut jurucakap naib menteri dalam negeri, Nasrat Rahimi memberitahu AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda