Sunday, November 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Pakistan tangkis serangan pengganas, enam terbunuh

    ISLAMABAD, 18 NOV – Tentera Pakistan semalam mengesahkan bahawa mereka telah berjaya menangkis serangan pengganas di sebuah pos keselamatan di daerah Kalat, wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, yang mengakibatkan enam pengganas terbunuh.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perhubungan Awam Perkhidmatan Tentera (ISPR), sayap media tentera Pakistan, sekumpulan pengganas cuba menyerang pos pasukan keselamatan di kawasan Shah-e-Mardan, Kalat pada malam Jumaat.

    Berikutan serangan itu, satu pertempuran sengit tercetus, mengakibatkan enam pengganas maut, manakala empat lagi cedera, kata ISPR.

    Tentera Pakistan juga mengesahkan bahawa tujuh anggota tentera terkorban dalam pertempuran dengan pengganas tersebut.

    Kenyataan itu turut menyebut bahawa pasukan keselamatan telah melancarkan operasi pembersihan untuk menghapuskan mana-mana pengganas yang masih berada di kawasan tersebut.

    “Pasukan keselamatan Pakistan, bersama rakyat, kekal bertekad untuk menggagalkan segala usaha yang bertujuan merosakkan keamanan, kestabilan dan kemajuan Balochistan, dan pengorbanan anggota tentera ini semakin menguatkan azam kami,” tambah tentera Pakistan.

    Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam keras serangan pengganas tersebut dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap para pelaku serangan itu. – Xinhua

    Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda