Tentera, polis Indonesia selenggara ‘dapur umum’

JAKARTA, 19 APRIL – Tentera dan polis Indonesia bekerjasama melaksanakan program ‘Dapur Umum’ bagi menyediakan makanan kepada yang memerlukan terutama mereka yang sumber pendapatan terjejas teruk akibat akibat pandemik COVID-19.

Setakat 15 April lepas, Kementerian Tenaga Kerja Indonesia menyatakan lebih 2.8 juta orang telah kehila-ngan pekerjaan susulan banyak aktiviti ekonomi tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar secara berperingkat bermula 16 Mac lepas.

Menurut Penyelaras Dapur Umum Tentera dan Polis Indonesia, Kol. Valian Wicaksono Magdi, Dapur Umum yang diselenggara pihak polis dan tentera itu diadakan di balai polis, kem tentera atau tempat awam di Kota Jakarta, dan kota-kota lain di semua wilayah di seluruh Indonesia. Bermula 15 April lepas, setiap Dapur Umum itu menyediakan antara 500 hingga 1,000 bungkus makanan pada setiap pagi, tengah hari dan malam, yang diagih kepada mereka yang memerlukan.

Di Kota Jakarta sahaja terdapat tujuh Dapur Umum di beberapa kawasan di wilayah itu dengan anggota tentera dan polis menyediakan bahan masakan, memasak dan membungkus, sebelum diagihkan kepada orang ramai mengikut prosedur kebersihan dan jarakan sosial yang ditetapkan. – Bernama

Pemandangan udara menunjukkan ibu kota Indonesia, Jakarta. Setakat 15 April, Indonesia mencatatkan lebih 2.8 juta orang kehilangan pekerjaan susulan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar. – AFP