SINGAPURA, 20 JULAI – Unit-unit dalam angkatan tentera Singapura telah digerakkan untuk membantu menangani serangan siber terhadap infrastruktur kritikal negara itu, kata Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing kelmarin – serangan yang dikaitkan oleh pakar dengan kumpulan pengintipan dari China.
Menurut laporan media tempatan, Chan menyatakan unit-unit terpilih itu akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber (CSA) dalam tindak balas bersepadu kerajaan terhadap ancaman tersebut.
Chan menyifatkan serangan siber itu sebagai ‘salah satu contoh ancaman baharu’ yang perlu ditangani oleh angkatan tentera, menurut laporan itu.
Setakat ini, tidak ada sebarang pelanggaran keselamatan dilaporkan.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K. Shanmugam, pertama kali mendedahkan serangan itu lewat Jumaat lalu, menyifatkannya sebagai sejenis Ancaman Maju Berterusan(APT) yang membawa risiko besar kepada negara kota itu.
APT merujuk kepada serangan siber di mana penceroboh berjaya memperoleh dan mengekalkan akses tanpa kebenaran terhadap sasaran tertentu, sambil kekal tidak dikesan dalam tempoh masa yang panjang.
“Saya boleh katakan ia adalah serius dan masih berlaku. Dan ia telah dikenal pasti sebagai UNC3886,” kata Shanmugam, merujuk kepada kumpulan penyerang yang disyaki.
Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, tidak mengulas lanjut dalam ucapannya mengenai penaja kumpulan itu atau asal-usul serangan tersebut.
Namun syarikat keselamatan siber Mandiant, yang dimiliki oleh Google, menyifatkan UNC3886 sebagai ‘kumpulan pengintipan siber yang sangat mahir dan mempunyai kaitan dengan China’. – AFP
