ISTANBUL, 4 NOV – Penasihat kanan Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Arab dan Afrika, Massad Boulos berkata usaha sedang dijalankan untuk mencapai gencatan senjata kemanusiaan di Sudan selepas tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) bersetuju secara prinsip terhadap pelan awal berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip dan setakat ini tiada bantahan awal daripada mana-mana pihak. Kami kini menumpukan kepada perincian pelaksanaannya,” kata Boulos, kelmarin, dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal Sudan Tribune.
Dia berkata inisiatif semasa itu, yang bertujuan mencapai persefahaman bersama bagi gencatan senjata menyeluruh serta fasa selepas gencatan di Sudan, adalah selaras dengan rangka kerja yang dipersetujui oleh Kumpulan Antarabangsa Kuad di Washington pada September lepas.
Pada 12 September, Kuad Antarabangsa yang dianggotai AS, Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru supaya diadakan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan di Sudan bagi membolehkan bantuan kecemasan dihantar ke semua kawasan sebagai langkah ke arah gencatan senjata kekal.
Jawatankuasa yang diketuai AS itu turut mencadangkan pelancaran proses peralihan selama sembilan bulan selepas gencatan kemanusiaan awal untuk menubuhkan kerajaan bebas yang dipimpin oleh awam di Sudan.
Boulos menjelaskan tiada rundingan langsung atau tidak langsung sedang dijalankan antara RSF dan tentera Sudan, namun komunikasi berasingan yang dikendalikan oleh AS sedang mengurus proses berkenaan. – Bernama


