DAMSYIK, 3 Feb – Tentera Syria berkata semalam ia telah menakluki beberapa bandar dan sebahagian daripada lebuh raya utama daripada kumpulan Islamic State (IS) di utara wilayah Aleppo.
Sejak melancarkan serangan ke atas pejuang jihad hampir tiga minggu lalu, tentera telah menawan wilayah seluas kira-kira 250 kilometer persegi, katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita SANA.
Tentera berkata serangan membentuk “satu landas pelancaran untuk memulakan operasi tentera ke atas Daesh,” menggunakan singkatan Arab untuk IS.
Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad telah mara di utara Syria sejak mengumumkan mereka telah merampas kawalan sepenuhnya ke atas bandar Aleppo pada akhir Disember.
Ia merupakan tamparan paling hebat kepada gerakan pemberontak Syria sejak pemberontakan ke atas Assad meletus pada Mac 2011.
Tentera Syria juga berkata semalam ia telah merampas lebuh raya sepanjang 16 kilometer yang menghubungkan bandar Aleppo dengan bandar yang dikawal IS Al-Bab.
Al-Bab, 25 kilometer dari selatan sempadan Turki, adalah kubu IS terakhir di wilayah Aleppo dan dilihat sebagai amat berharga oleh hampir semua pihak dalam perang Syria. – AFP