Tentera Syria terus tekan IS

BAGHOUZ, Syria, 12 Feb – Pejuang Syria yang dibantu oleh perisai senjata gabungan pimpinan Amerika Syarikat (AS) bertempur menentang serangan balas pejuang jihad ketika mereka berusaha menawan semula wilayah terakhir daripada kumpulan Islamic State (IS) dalam satu serangan yang berlaku selama beberapa hari.

Pemerhati peperangan berkata serangan udara gabungan itu telah membunuh 16 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak yang cuba melarikan diri daripada tempat persembunyian semalam, tetapi gabungan pimpinan AS tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Lebih empat tahun selepas pelampau mengisytiharkan ‘pemerintahan khalifah’ di sebahagian besar kawasan Syria dan negara jiran Iraq, beberapa serangan telah berlaku di kawasan yang kecil di timur Syria.

Usaha terakhir untuk mengusir ratusan pejuang jihad dari kawasan tersebut di sempadan Iraq diumumkan pada Sabtu oleh Tentera Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish.

Semalam, gabungan pimpinan AS mengekalkan serangan bom di kawasan itu tatkala SDF menghadapi tentangan sengit.

Pejuang SDF semasa mengawal konvoi trak yang membawa orang awam yang melarikan diri daripada kubu kuat IS, Baghouz kelmarin. – AFP

Bunyi letupan dapat kedengaran dari jarak beberapa kilometer dan kepulan asap kelabu dapat kelihatan dari wilayah SDF.

“Pertempuran sengit sedang berlaku untuk memberi tekanan kepada IS supaya menyerah diri,” kata Rami Abdel Rahman, ketua pengawas Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Balai Cerap itu berkata seramai 12 pejuang SDF dan 19 pejuang jihad terbunuh dalam pertempuran semalam.

Jurucakap SDF Mustafa Bali berkata pihak tentera bertindak balas selepas IS melancarkan satu serangan balas sebelumnya. Beliau juga berkata terdapat puluhan tebusan SDF yang ditahan oleh IS dalam kubu terakhir mereka, tetapi menafikan laporan pembunuhan.

Presiden AS Donald Trump berkata semalam pihak gabungan mungkin mengisytiharkan kemenangan ke atas IS di rantau itu pada hari-hari akan datang.

“Pejuang kami yang berani telah membebaskan 100 peratus wilayah ISIS di Iraq dan Syria, tidak lama lagi ia akan diumumkan, mungkin pada minggu depan, mungkin kurang seminggu tetapi akan diumumkan bahawa kami memiliki 100 peratus,” beritahunya pada satu rapat di El Paso. – AFP