Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Udara Filipina dan AS mulakan Latihan Strategik bersama

    MANILA, 7 APRIL – Tentera Udara Filipina dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan bersama hari ini, yang bertujuan untuk meningkatkan koordinasi operasi serta memperkukuhkan ‘daya tangkis strategik’, menurut kenyataan pihak tentera Filipina.

    Latihan ini berlangsung selepas beberapa bulan ketegangan antara Beijing dan Manila berhubung kawasan pertikaian di Laut China Selatan. Latihan ketenteraan gabungan yang lebih besar melibatkan udara, darat dan laut dijadualkan berlangsung pada penghujung April.

    “Penekanan akan diberikan kepada peningkatan kesiapsiagaan tempur dan keberkesanan misi bersama” dalam latihan Cope Thunder, kata Komander Tentera Udara Filipina, Arthur Cordura, semasa majlis pelancaran latihan tersebut, hari ini.

    Hubungan ketenteraan antara Filipina dan AS semakin erat sejak pemilihan Presiden Ferdinand Marcos pada 2022, dengan Manila menolak tuntutan menyeluruh China di Laut China Selatan, yang telah diputuskan tidak berasas oleh tribunal antarabangsa.

    Jabatan Negara AS minggu lalu meluluskan penjualan jet pejuang F-16 kepada Filipina yang telah lama dirancang, namun Manila menyatakan bahawa perjanjian itu ‘masih dalam fasa rundingan’.

    Dalam majlis pelancaran itu, Mejar Jeneral Christopher Sheppard dari AS berkata, “kadar perkembangan pakatan kita semakin meningkat.”

    Cope Thunder, yang akan berlangsung sehingga 18 April, bertujuan memperkukuhkan ‘keupayaan peperangan asimetri, koordinasi operasi, serta daya tangkis strategik’, menurut Tentera Udara Filipina.

    Seperti kebanyakan aktiviti Balikatan yang dirancang, latihan Cope Thunder akan dijalankan di pulau Luzon utara — kawasan di Filipina yang paling hampir dengan Taiwan. – AFP

    Sebuah jet pejuang F-16 milik AS semasa majlis pembukaan Cope Thunder, latihan tahunan dua hala antara Tentera Udara Pasifik AS dan Tentera Udara Filipina, di Pangkalan Udara Clark pada 7 April. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda