MOSCOW, 21 APRIL – Apabila letupan kuat menggegarkan bandar Rusia berhampiran sempadan Ukraine, penduduk menyangka ia serangan yang dilancarkan Ukraine. Tetapi tentera Rusia dengan cepat mengakui bahawa ia adalah bom yang dijatuhkan secara tidak sengaja oleh salah satu pesawat perangnya sendiri.
Belgorod, sebuah bandar yang mempunyai 340,000 penduduk terletak kira-kira 40 kilometer ke timur sempadan, sering menghadapi serangan dron yang dipersalah oleh pihak berkuasa Rusia ke atas tentera Ukraine, tetapi letupan lewat kelmarin adalah jauh lebih kuat daripada apa yang pernah didengar penduduknya sebelum ini.
Saksi melaporkan bunyi desis diikuti dengan letupan yang menyebabkan bangunan pangsapuri berdekatan bergegar dan melemparkan sebuah kereta ke atas bumbung sebuah kedai.
Ia meninggalkan kawah selebar 20 meter di tengah-tengah jalan raya, memecahkan tingkap apartmen, merosakkan beberapa kereta dan mencederakan dua penduduk. Orang ketiga kemudian dimasukkan ke hospital disebabkan tekanan darah tinggi.
Sejurus selepas letupan itu, pengulas Rusia dan penulis blog tentera kecoh dengan teori tentang senjata yang digunakan Ukraine dalam serangan itu. Ramai meminta serangan balas.
Tetapi sejam kemudian, Kementerian Pertahanan Rusia mengakui letupan itu disebabkan oleh senjata yang secara tidak sengaja dijatuhkan oleh salah sebuah pesawat pengebom Su-34 miliknya sendiri. – AP


