KATHMANDU, 21 MEI – Sekumpulan pendaki veteran bekas anggota pasukan khas tentera British berjaya menawan puncak Gunung Everest hari ini, dalam satu ekspedisi pantas yang menyasarkan untuk berlepas dari London, menawan puncak tertinggi dunia dan pulang semula ke tanah air dalam tempoh tujuh hari.
Empat pendaki lelaki tersebut, termasuk seorang menteri kerajaan, Alistair Carns, berlepas dari London pada Jumaat lalu dengan persediaan awal untuk menghadapi suasana kurang oksigen di altitud tinggi – termasuk penggunaan gas xenon, satu kaedah yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan komuniti pendakian.
Mereka telah tidur di dalam khemah khas beroksigen rendah sebelum bertolak dari Britain dan menjalankan misi ini bagi mengutip dana untuk kebajikan veteran tentera.
“Kesemua empat pendaki bersama seorang jurugambar dan lima anggota pasukan Sherpa berjaya sampai ke puncak pada jam 7:10 pagi ini,” kata penganjur ekspedisi, Lukas Furtenbach dari Furtenbach Adventures yang berpangkalan di Austria, kepada AFP.
Pasukan tersebut turut dianggotai oleh Garth Miller, Anthony Stazicker dan Kevin Godlington, dan kini sedang menuruni puncak setinggi 8,849 meter itu.

“Mereka dijangka tiba di kem asas menjelang petang dan, jika cuaca mengizinkan, akan kembali ke London dalam masa tujuh hari,” tambah Furtenbach.
Misi itu juga bertujuan mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat konflik bersenjata.
“Saya sendiri pernah menyaksikan dalam beberapa operasi di Afghanistan, ramai individu yang tidak kembali,” kata Carns, 45, yang telah menjalani lima tugasan di Afghanistan.
Carns, seorang kolonel dalam pasukan simpanan Royal Marines, merupakan ahli parlimen British paling banyak menerima anugerah sejak Perang Dunia Kedua.
“Pada pandangan saya, menyokong kanak-kanak yang ditinggalkan adalah sesuatu yang paling mulia dilakukan,” ujarnya. – AFP