Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera wanita Afrika Selatan boleh berhijab

    JOHANNESBURG, 29 JAN – Tentera wanita di Afrika Selatan yang beragama Islam kini dibenarkan berhijab sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka, kata jurucakap tentera semalam.

    Ia susulan keputusan Pasukan Tentera Afrika Selatan (SANDF) meminda peraturan baharu minggu ini yang membenarkan semua wanita Islam bertudung bagi menutup aurat rambut ketika bertugas.

    “Peraturan pakaian SANDF diperbaharui untuk membolehkan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam mengikut ketetapan dalam peraturan berpakaian,” kata Mafi Mgobozi.

    Pemakaian hijab dalam SANDF menimbulkan kontroversi selepas seorang pegawai tentera wanita didakwa melanggar peraturan apabila memakai hijab ketika berpakaian seragam tentera.

    Pegawai terbabit, Mejar Fatima Isaacs berdepan tuduhan jenayah pada Jun 2018 iaitu dengan sengaja melakukan kesalahan dan tidak mematuhi arahan yang sah selepas pihak atasannya meminta dia menanggalkan tudung ketika mengenakan pakaian seragam.

    Mahkamah tentera di Castle of Good Hope, Cape Town menggugurkan semua tuduhan pada Januari 2020 dan membenarkan Fatima mengenakan penutup kepala hitam yang ketat ketika bertugas selagi ia tidak menutup telinganya.

    Bagaimanapun, tentera tidak meminda dasar pemakaiannya, yang kemudian mendorong Fatima mengemukakan cabaran di mahkamah kesaksamaan Afrika Selatan berhubung peraturan yang menyekat pemakaian mengikut agama.

    SANDF kemudian bersetuju meminda peraturan pemakaian seragamnya dengan membenarkan semua wanita Islam bertudung ketika bertugas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda