Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenteramkan hati dengan lafaz zikir

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Apabila sebut zikir, fahaman segelintir orang mengatakan zikir ini biasanya dilakukan dengan tasbih di tangan dan duduk di atas sejadah. Begitu juga segelintir orang mengatakan itu amalan para ustaz, imam, ulama dan salafus-soleh.

    Sebenarnya tidak sedemikian, sebetulnya zikir ini untuk semua peringkat orang Islam tidak kira yang kaya ataupun yang miskin.

    Perkara berkenaan diketengahkan oleh Pegawai Perkembangan Agama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali, dalam Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dengan tajuk ‘Kehebatan Zikrullah: Mengingati Allah’.

    Beliau juga berkata, “Zikir ini sebetulnya amat luas skopnya. Menyebut nama Allah Subhanahu Wata’ala adalah zikrullah. Mengerjakan solat fardu dan sunat, zikrullah. Membaca Al-Quran Al-Karim, juga zikrullah.

    Bahkan menurut beliau lagi, berdoa untuk memohon hasanah (kebajikan) di dunia dan hasanah (kebajikan) di akhirat, menjauhkan diri dari melakukan maksiat dan dosa, bekerja untuk menyara keluarga dan menuntut ilmu Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah juga merupakan zikrullah.

    Tazkirah subuh minggu ini mengetengahkan ketenteraman hati dalam berzikir dan luasnya skop zikrullah.
    Haji Fansuri Sharimi ketika menyampaikan ceramahnya.

    “Tetapi tidakkah kita terfikir, zikrullah ini memiliki kehebatan dan kelebihan tersendiri, yang mana manusia hanya mampu mengetahuinya sedikit saja.

    “Zikrullah ini jika diamalkan sungguh-sungguh oleh seseorang, ia akan mencapai kedamaian dan ketenteraman jiwa. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala: tafsirnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Ra’d, ayat 28),” tambah Haji Fansuri.

    Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien merupakan satu program mingguan bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah.

    ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung acara Bandarku Ceria, memulakan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui penyertaan dalam menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    Hadir bersama-sama jemaah dan mendengarkan tazkirah ialah Pemangku Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

    Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

    Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah S.W.T.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda