KYOTO, JEPUN – Nishijinori, teknik tenunan rumit untuk kimono yang wujud sejak lebih seribu tahun di ibu kota purba Jepun, Kyoto, telah mendapat rakan berteknologi tinggi: kecerdasan buatan (AI).
Gaya tenunan berwarna-warni yang dikaitkan dengan ‘Kisah Genji’ era Heian abad ke-11, telah melalui pelbagai perjalanan pasang surutnya. Namun kewujudannya semakin terancam berbanding sebelum ini, ketika permintaan untuk kimono merosot dalam kalangan warga Jepun yang bergelut dengan pemodenan.
Hironori Fukuoka, penerus generasi keempat perniagaan Nishijinorinya, bertekad untuk mengekalkan seni yang diwarisinya, walaupun ia bermakna beralih kepada AI.
“Saya mahu meninggalkan warisan yang ditinggalkan ayah untuk saya,” katanya di kedainya yang usang di daerah Nishijin di Kyoto, sebuah bandar dengan kuil yang dipenuhi patung dan taman berukir yang nampaknya tidak pernah berubah.
“Saya telah memikirkan bagaimana seni Nishijinori boleh kekal relevan dengan keperluan hari ini,” kata Fukuoka.
Selain projek AI, Fukuoka juga berusaha menggunakan teknik tenunannya untuk menghasilkan bahan tahan lasak untuk joran dan pesawat udara.
DI MANA TRADISI DAN TEKNOLOGI BERTEMU
Alat tenun gergasi berkeletak-keletuk di kedainya, yang dipanggil Fukuoka Weaving. Corak pada fabrik cantik, perlahan-lahan muncul dari alat tenun, adalah berulang dan geometri, yang menjadikannya kondusif untuk mengubahnya ke dalam data digital. Memutuskan benang warna dicelup tangan yang mana untuk digunakan dalam menghasilkan corak adalah sama seperti isyarat digital di komputer.
Persamaan itulah yang difokuskan oleh Fukuoka dalam meneroka bagaimana AI mungkin berfungsi untuk Nishijinori, dengan bantuan Sony Computer Science Laboratories, cabang penyelidikan bebas syarikat elektronik dan hiburan Sony Corp.
AI hanya membuat cadangan untuk reka bentuk dan tidak melakukan apa-apa kerja pengeluaran sebenar. Namun ia tidak merisaukan Fukuoka atau para penyelidik.
“Penyelidikan kami datang daripada idea bahawa kehidupan manusia benar-benar diperkaya hanya jika ia mempunyai kedua-dua perkara, iaitu inovasi baharu dan apa yang tidak pernah berubah,” kata Jun Rekimoto, ketua pegawai sains di Sony CSL, yang juga mengkaji bagaimana AI boleh digunakan untuk mendokumentasikan dan menyampaikan upacara minum teh tradisional Jepun.
“Kami tidak percaya AI boleh melakukan segala-galanya. Nishijinori adalah industri yang besar dan kompleks dan dengan itu ia bermula dengan memikirkan di mana AI boleh membantu,” kata Rekimoto, juga seorang profesor di Universiti Tokyo.
Apa yang terhasil adalah perubahan yang mengejutkan tetapi logik dalam pemikiran, sesuai dengan seni menghiasi kimono yang dipakai oleh keluarga maharaja Jepun.
AI telah diberi pelbagai corak Nishijinori yang telah wujud dan diarahkan untuk menghasilkan cadangannya sendiri. Salah satunya ialah corak hitam dan oren terang yang kelihatan seolah-olah membangkitkan motif tropika.
MENCAPAI KESEIMBANGAN
Bagi Fukuoka, beberapa idea AI adalah menarik tetapi tidak nampak benar. Perbezaan antara AI dan usaha manusia adalah AI boleh mengemukakan pelbagai cadangan dalam masa beberapa saat.
Fukuoka amat tertarik kepada idea yang menggunakan motif daun untuk menentukan garis sudut corak tradisional, sesuatu yang dikatakan tidak akan terfikir oleh manusia. Dia mendapatinya sesuatu yang pintar.
Kimono yang dihasilkan dengan kerjasama AI adalah hijau muda yang lembut, walaupun ia tidak mempunyai tanda harga dan belum dalam proses pengeluaran lagi.
Tenunan dilakukan oleh mesin gaya lama di bawah bimbingan artisan manusia dengan cara tradisional.
Kimono Nishijinori dijual pada harga sehingga satu juta yen (AS$6,700). Ramai orang Jepun hari ini tidak perlu bersusah payah membeli kimono dan boleh menyewanya untuk majlis-majlis khas seperti perkahwinan.
Memakai kimono adalah kerja yang sukar dan rumit, selalunya memerlukan bantuan profesional, menjadikan kimono semakin kurang mudah diakses.
PERKONGSIAN KREATIF
Dr Lana Sinapayen, penyelidik bersekutu di Sony CSL, percaya AI sering diberikan kerja yang kreatif dan menyeronokkan, meninggalkan tugas yang membosankan kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya berlaku sebaliknya.
“Itu adalah matlamat saya,” katanya dalam temu bual di Fukuoka Weaving, tentang niatnya untuk menggunakan AI sebagai peranan pembantu, bukan jawatan kepimpinan.
Teknologi digital tidak boleh mewakili semua penggredan warna Nishijinori secara automatik. Tetapi AI boleh memikirkan cara terbaik untuk melakukannya secara digital, dan ia juga boleh mempelajari cara artis manusia membetulkan corak yang telah dihasilkannya.
Setelah semuanya selesai, AI boleh menangani tugas yang sukar dalam masa beberapa saat, melakukan kerja yang cukup baik, menurut para penyelidik.
Kecerdasan buatan sedang digunakan secara meluas di kilang, pejabat, sekolah dan rumah, kerana ia boleh melakukan tugas dengan lebih pantas dan dalam jumlah yang lebih besar, dan biasanya agak tepat dan tidak berat sebelah, berbanding usaha manusia. Ia tersebar lebih cepat di Amerika Syarikat dan negara Barat yang lain berbanding di Jepun, yang cenderung bersikap hati-hati mengenai perubahan dan memilih membuat keputusan berdasarkan konsensus yang difikirkan dengan teliti. – AP