Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenunan Sumba warisan berzaman

    SENI tenunan adalah budaya masa silam yang diwarisi oleh manusia bagi menghasilkan pakaian dan merupakan antara peradaban yang pasti ditemui di setiap pelosok dunia. Meskipun pada zaman moden ini, penghasilan pelbagai fabrik dengan menggunakan kaedah terkini mampu menghasilkan jutaan meter tekstil, namun tradisi memintal benang bagi membuat kain masih diamalkan di beberapa kawasan termasuk di Pulau Sumba yang terletak di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

    Malah Presiden, Joko Widodo atau Jokowi ketika hadir menyaksikan Festival Tenun dan Kuda Sandelwood di Lapangan Gelatama, Tambolaka, Kabupaten Sumba Barat Daya, Nusa Tenggara Timur turut mengenakan pengikat kepala dan berselempang kain tenunan.

    Bagi orang Sumba, memiliki dan mengenakan kain sarung yang diperbuat daripada tenun ikat merupakan suatu kewajipan kerana kain tenun tersebut merupakan pakaian rasmi yang perlu dipakai antaranya ketika menghadiri majlis perkahwinan, upacara kematian dan beribadah.

    Menurut Pengarah Yayasan Sosial Donders, Mikhael Molan Keraf, golongan wanita desa menyifatkan aktiviti menenun kain sebagai suatu ibadah untuk memuji kebesaran Tuhan. “Mereka menghasilkan motif-motif bercorak seperti haiwan, alam semula jadi dan benda-benda yang digunakan dalam kehidupan seharian sebagai simbolik menghargai kebesaran Sang Pencipta. “Masyarakat di sini lebih menghargai kain tenun dan berhati-hati ketika memakainya seperti tidak menggunting kain berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Angela Lele Biri yang bertugas di Pejabat Bahagian Agama Kabupaten Sumba Barat berkata, proses yang sangat panjang diperlukan bagi menghasilkan kain tenun daripada memilih kapas untuk dipintal menjadi benang, membuat corak pada kain, pencelupan warna dan seterusnya baru ditenun.

    Sumba - 3_080817

    Presiden Joko Widodo atau Jokowi ketika hadir menyaksikan Festival Tenun dan Kuda Sandelwood di Lapangan Gelatama, Tambolaka, Kabupaten Sumba Barat Daya, Nusa Tenggara Timur.
    Presiden Joko Widodo atau Jokowi ketika hadir menyaksikan Festival Tenun dan Kuda Sandelwood di Lapangan Gelatama, Tambolaka, Kabupaten Sumba Barat Daya, Nusa Tenggara Timur.

    Tenun Sumba merupakan simbolik kehidupan seharian masyarakat Sumba dan dibaca doa pujian semasa penghasilannya. Menurutnya, memakai kain sarung sebenarnya merupakan sebahagian cara untuk menjaga martabat diri. “Orang Sumba dahulu sangat marah jika melihat anak-anak mereka membetulkan kain sarung yang dipakai di hadapan umum kerana ia merupakan sesuatu yang kurang manis dipandang orang dan perlu dielakkan,” jelasnya.

    Kain tenun ikat yang dihasilkan di Nusa Tenggara Timur sangat terkenal sebagai kain yang dijual dengan harga tinggi jika dibandingkan kain fabrik lain. Harga kain tenun ikat Nusa Tenggara Timur setanding dengan kain songket dari Jambi dan kain sutera di Sulawesi.

    Kain mahal

    Harga termurah bagi selembar kain tenun Sumba yang diperbuat daripada benang fabrik dan menggunakan pewarna buatan bernilai Rp250,000.

    Kain tenun Sumba yang dihasilkan daripada benang kapas serta menggunakan pewarna asli harganya mampu mencapai Rp10 juta.

    Seorang penjual kain tenun Sumba, Felicitas Ambukaka berkata, setiap kain tenun mampu mencapai harga berlipat kali ganda jika dibeli menerusi orang tengah. “Saya mendapatkan bekalan secara terus daripada penenun di kampung dengan harga yang lebih rendah dan dapat menjualnya kembali dalam nilai berpatutan.”Rata-rata kain tenun Sumba yang saya jual berharga antara Rp200,000 hingga Rp2 juta,” ujarnya.

    Bagi Felicitas, kain tenun Sumba sangat unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri dari segi warna serta corak malah sangat sesuai untuk digunakan bagi menghasilkan busana yang lebih moden. “Kain-kain ini yang menggunakan pewarna buatan lebih cerah dan berwarna-warni, berbeza dengan kain tenun Sumba yang menggunakan pewarna asli dan memiliki warna lebih lembut,” ujarnya.

    Kain tenun ikat yang dihasilkan di Nusa Tenggara Timur sangat terkenal sebagai kain yang dijual dengan harga tinggi jika dibandingkan kain fabrik lain.
    Kain tenun ikat yang dihasilkan di Nusa Tenggara Timur sangat terkenal sebagai kain yang dijual dengan harga tinggi jika dibandingkan kain fabrik lain.

    Sumba - 4_080817

    Bagaimanapun, penggemar kain tenun Sumba akan memilih warna yang sesuai dengan cita rasa mereka sama ada ia menggunakan pewarna buatan atau asli. Menurut seorang penggemar kain tenun Sumba, Anggriani Irwanto, dia telah memakai kain tenun Sumba sejak berusia lima tahun dan sangat berbangga mengenakan kain tersebut. “Saya gemar mengenakan kain sarung Sumba berbanding pakaian moden yang lain bagi menghadiri majlis-majlis penting seperti perkahwinan dan pengebumian,” katanya.

    Pendapatan

    Aktiviti menenun kain menjadi sumber pendapatan bagi kebanyakan wanita Sumba. Bagi penenun asal Desa Weri B, Kecamatan Kodi Timur, Sumba Barat Daya, Deborah Kali berkata, pendapatan kaum wanita di desa berkenaan bergantung kepada hasil menenun kain. Menurutnya, dia mula mempelajari seni tenunan ketika berusia lapan tahun dengan cara melihat orang dewasa membuatnya seperti menggulung benang kapas.

    “Kebiasaannya, aktiviti ini dilakukan oleh kaum wanita namun terdapat juga orang lelaki yang menyertainya seperti menggulung benang, mengikat kain dan ada juga yang pandai menenun. “Antara corak yang sering ditenun ialah berbentuk ketupat, rumah adat, kuda, ular, ayam dan kura-kura,” katanya.

    Deborah mampu menghasilkan selembar kain bercorak sederhana dalam masa seminggu. Bagi Maria Kaka, dia mula mempelajari mengenai alat-alat untuk menenun seperti pakan, lungsing dan benang kapas sejak berusia 10 tahun lagi. Ceritanya lagi, seni menenun perlu dipelajari sejak usia muda kerana apabila sudah dewasa ia menjadi agak sukar.

    Sekarang ini, penenun kain ikat Sumba di kawasan perkampungan lebih gemar menggunakan benang dan pewarna yang dibeli kerana lebih praktikal serta mudah. Walaupun sesetengah masyarakat terutamanya mereka yang berasal daripada Jawa sering menganggap kain tenun yang dijual agak mahal namun bagi para penenun, mereka tetap hidup dalam kesederhanaan.

    Penenun kain ikat Sumba hanya tinggal di rumah yang diperbuat daripada buluh dan kayu, malah tidak mempunyai harta yang berharga. Kos pengeluaran untuk menghasilkan selembar kain tenun Sumba yang dijual pada harga Rp200,000 berjumlah Rp100,000 tidak termasuk kos membeli benang, upah dan pengangkutan.

    Kain tenun yang mempunyai motif yang lebih rumit biasanya dijual pada kadar Rp500,000 hingga Rp1 juta kerana menggunakan pelbagai jenis corak dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk siap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda