Friday, November 8, 2024
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tepung suji kuih tradisional yang semakin dilupakan

    KUANTAN – Kuih tradisional yang dikenali sebagai tepung suji dalam kalangan penduduk di daerah Pekan, Pahang semenangnya begitu sinonim dengan keharuman aroma daun pandan dan keenakan rasanya yang manis berlemak.

    Namun dek kerana proses penyediaannya dianggap memakan masa dan memerlukan teknik tertentu, kuih tradisional berwarna hijau yang sering menjadi pencuci mulut dalam majlis perkahwinan suatu ketika dahulu semakin dilupakan serta kurang dikenali oleh generasi kini.

    Justeru, bagi memastikan tepung suji tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dua anak jati Pekan mengambil inisiatif untuk mengetengahkan kuih tradisional itu kepada masyarakat antaranya dengan menyertai pertandingan masakan dan mengambil tempahan.

    Berkongsi cerita, Siti Baizura Shk Husin, 49, berkata dia dan rakannya, Noor Farahida
    Ifdal, 34, secara kebetulan memiliki resipi sama yang disimpan oleh ibu mereka.

    “Kuih ini kalau cari resipi di laman sosial pun agak kurang dijumpai, memang ramai yang tidak tahu dan tidak cuba buat tetapi kami minat untuk mencuba resipi ini dan bila ada orang yang tahu kami boleh buat, mereka tempah.

    Siti Baizura Sheikh Husin (kanan) dan Nor Farahida Ifdal menunjukkan kuih tradisional yang dikenali tepung suji yang dimasak mereka ketika menyertai pertandingan memasak kuih dan pemanis mulut tradisional pada Karnival Rakyat Pahang 2024 di Dataran Sayangi Kuantan, baru-baru ini. – Bernama
    Nor Farahida Ifdal menunjukkan kuih tradisional yang dikenali tepung suji yang dimasaknya. – Bernama

    “Noor Farahida akan masak tepung suji dan saya akan menghias atau membentuk kuih itu supaya tampil lebih menarik,” katanya kepada Bernama di Karnival Rakyat Pahang di sini, baru-baru ini, yang menyaksikan mereka memenangi tempat kedua Pertandingan Penyediaan Pencuci Mulut.

    Siti Baizura juga berkata ketika tepung suji dipamer pada pertandingan itu, ramai yang mengajukan pertanyaan dan ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mengenali kuih tradisional tersebut.

    Noor Farahida pula berkata penyediaan kuih tradisional itu menggunakan lima bahan iaitu tepung suji, gula pasir, telur ayam, santan dan daun pandan selain teknik yang betul serta kesabaran.

    “Bahan seperti gula, telur, santan serta air pandan saya mesin dahulu kemudian saya masukkan tepung suji sedikit demi sedikit dan masak dengan api sederhana, bahan-bahan ini perlu sentiasa dikacau supaya ia tidak berketul-ketul dan adakalanya mengambil masa hingga setengah jam.

    “Kesemua bahan yang digunakan mesti segar, santan tidak boleh guna yang kotak dan mesti gunakan daun pandan bukannya pewarna untuk membuatkan ia tahan lama… ramai orang yang saya kongsi resipi tetapi tidak jadi kerana mereka tidak ikut betul-betul cara dan bahan yang digunakan,” katanya.

    Ibu kepada tiga cahaya mata perempuan itu berkata tepung suji yang dijual pada harga RM70 sekilogram sesuai dijadikan hantaran serta cenderahati untuk pelbagai majlis dan acara.

    “Zaman dahulu, tepung suji dipunjut dan dilekatkan bersama bunga telur tetapi sekarang kami dah inovasikan ia menjadi pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan. Kami berharap tepung suji akan lebih dikenali selepas ini dan menjadi pilihan orang ramai sebagai kuih kegemaran,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda