Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Terap amalan hidup sihat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Seramai 200 orang telah menyertai Ekspedisi Santai Berbasikal 2024 di bawah program Happy Environment and Lifestyle (HEAL) yang bermula dan berakhir di Bukit Riadah RPN Kampung Panchor, hari ini.

              Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang turut menyertai ekspedisi berkenaan.

     

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri turut menyertai ekspedisi berbasikal berkenaan.

           Ekspedisi sejauh 15 Kilometer itu dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Gleneagles Jerudong Park Medical Centre Sdn Bhd (GJPMC) dan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Perundingan Kampung (MPK)  (RPN) Kampung Panchor selaku Duta Kesihatan.

              Dalam ekspedisi tersebut, peserta turut membuat perhentian di kawasan letak kereta Radio Televisyen Brunei.

              Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Panchor Kawasan 1 dan 3, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi ekspedisi antara lain berharap ekspedisi berkenaan dapat digunakan bagi menyahut seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

              Di samping itu, ia juga mengingatkan peserta untuk lebih berhati-hati dan tidak menggunakan ekspedisi berkenaan untuk berlumba-lumba dan sentiasa mengikut arahan sepanjang ekspedisi dan menggunakan kelengkapan berbasikal.

     

    Antara peserta yang ikut serta dalam Ekspedisi Santai Berbasikal 2024.

    Antara lain tujuan ekspedisi adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tanpa mengira usia mengenai amalan gaya hidup sihat dari dua sudut aspek yang berbeza iaitu dari segi pemakanan dan kegiatan fizikal.

              Selain itu, ia juga sebagai salah satu landasan bagi mengeratkan silaturahim antara ahli jawatankuasa dan penduduk kampung tersebut dalam sama-sama mengungkayahkan aktiviti kesihatan bagi melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, sejahtera dan bebas daripada penyakit.

              Dengan adanya aktiviti atau program seperti itu, Kementerian Kesihatan berharap agar orang awam akan dapat membantu pihak PPK dan pihak yang berkepentingan dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, penyakit jantung, kanser dan sebagainya, dengan mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat kepada semua peringkat umur.

              Di samping itu, ia juga diharapkan agar dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

              Turut hadir pada acara itu ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 2, 3, dan 5, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...